Lima tahun basmi kemiskinan

0

SEDAP: Lim (kiri) menikmati ‘Mi Kampua’ di Sibu, semalam. Turut kelihatan Ling.

SIBU: Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Guan Eng mendakwa negeri ini merupakan salah sebuah negeri yang paling kaya dengan sumber semula jadi tetapi masih tergolong sebagai salah sebuah negeri termiskin di negara ini.

“Ini disebabkan negeri Sarawak masih dilanda isu rasuah yang sangat membimbangkan.

“Jika Pakatan Rakyat (PR) berjaya diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) untuk menjadi kerajaan, PR akan menghapuskan kadar kemiskinan di negeri ini dalam tempoh lima tahun sahaja.

“Apa yang telah kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal laksanakan dalam tempoh 50 tahun lalu, kita (PR) akan melakukannya cuma dalam tempoh lima tahun sahaja,” dakwanya pada sidang media selepas mengadakan tinjauan mesra di Pasar Sentral di sini, semalam.

Turut sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan David Wong, calon DAP Parlimen Sibu Oscar Ling dan calon DAP Parlimen Lanang Alice Lau.

Lim turut memberi jaminan bahawa rakyat di negeri ini boleh melihat ke arah kestabilan negeri Pulau Pinang, sebagai contoh bahawa kerajaan PR mampu merealisasikan daripada apa yang kerajaan BN tidak dapat lakukan.

Pada tahun 2013, katanya Pulau Pinang mencipta sejarah apabila menjadi negeri pertama yang berjaya menghapuskan kemiskinan.

Sehubungan itu, Lim memberitahu bahawa kerajaan PR juga akan menubuhkan dana sebanyak RM1 bilion bagi membantu meningkatkan taraf hidup serta ekonomi masyarakat Dayak.

Beliau turut berjanji untuk menubuhkan sebuah kementerian khas untuk menjaga hal ehwal Bumiputera bukan Islam di Sarawak bagi menjaga kepentingan masyarakat bukan Islam dan turut menubuhkan kementerian yang bertanggungjawab menjaga masyarakat Kristian dan Islam.

Dalam pada itu, Lim memberitahu akan membina Jalan Pan Borneo dari hujung Kudat di Sabah hingga ke Kuching dalam tempoh lima tahun jika PR memegang tampuk pemerintahan negara ini pada PRU13.

“Ini adalah bukti kita bagi menjaga kepentingan rakyat di Sabah dan Sarawak yang telah diabaikan selama 50 tahun oleh BN.

“Lebuh raya ini akan siap dalam tempoh lima tahun dan ia akan mewujudkan jaringan hubungan antara kedua-dua negeri yang terus dipertingkatkan,” tegasnya.

Lim berkata kos perbelanjaan untuk membina lebuh raya itu boleh diperolehi daripada royalti minyak yang akan dinaikkan daripada lima peratus kepada 20 peratus.

“Kami telah menyatakan dengan jelas dalam manifesto bahawa jika PR menang hasil royalti minyak akan dinaikkan daripada lima peratus kepada 20 peratus dan wang hasil royalti minyak adalah lebih daripada cukup untuk membiayai kos pembinaan lebuh raya tersebut,” tambahnya.

Selain itu, Lim menegaskan bahawa kerajaan PR tidak akan mengutip apa-apa tol berban-ding dengan kerajaan BN yang akan mengenakan bayaran tol kepada rakyatnya.