Pengundi harus buat keputusan dengan bijak

0

Pilih kerajaan BN sekiranya ingin mengekalkan momentum pembangunan di kawasan masing-masing

MIRI: Pengundi harus membuat keputusan dengan bijak dengan memilih kerajaan Barisan Nasional (BN) sekiranya ingin mengekalkan momentum pembangunan di kawasan masing-masing.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang berkata pentadbiran kerajaan BN tiada cacat celanya dan tiada alasan kukuh kepada rakyat untuk menukar kerajaan sedia ada.

“Saya tidak melihat sebarang kebaikan jika rakyat memilih kerajaan selain daripada kerajaan BN kerana jika ia berlaku segala perancangan kerajaan untuk membangunkan sesuatu kawasan akan tergendala,” katanya di sini semalam.

Beliau memberitahu, kerajaan BN telah memenuhi segala keperluan rakyat, bukan hanya menerusi penyaluran infrastruktur tetapi juga mengurangkan beban rakyat.

“Kerajaan memberi pelbagai subsidi untuk mengurangkan beban rakyat serta memperkenalkan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dengan harapan rakyat dapat membeli barangan keperluan pada harga terendah.

Selain itu, kerajaan memberi pula Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berbentuk tunai bagi menampung perbelanjaan harian rakyat di bandar dan luar bandar,” jelasnya.

Menurutnya, BN telah jelas memberi khidmat cemerlang untuk keselesaan rakyat dan mereka harus mengenang setiap jasa kerajaan BN dengan memberi mandat sekali lagi kepada BN pada 5 Mei depan.

Mengulas mengenai projek terbaharu di kawasan Sibuti, Ahmad Lai berkata, Sibuti bakal memiliki sebuah balai bomba baharu dan hospital bagi memenuhi keperluan asas penduduk.

“Semua kemudahan ini sudah dirancang kerajaan BN, dan jika pengundi di sini memihak kepada parti lawan, semua perancangan ini akan tergendala dan rakyat Sibuti pasti kecewa dengan pentadbiran pembangkang kelak,” ujarnya.

Kawasan Sibuti katanya telah jauh berubah dan 80 peratus kawasannya telah mempunyai kemudahan asas yang ternyata meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Saya percaya pembangkang tidak melakukan apa-apa untuk kawasan Sibuti dan mereka hanya berjanji pada musim pilihan raya semata-mata untuk meraih undi rakyat,” jelasnya.

Beliau menegaskan, kawasan Sibuti antara kubu kuat BN dan bebas daripada isu-isu besar kecuali pembangkang yang hanya bijak memanipulasi isu lapuk.

“Saya akan terus memberitahu rakyat bahawa manfaat yang mereka peroleh sekiranya ditadbir kerajaan BN dan ia telah jelas terbukti sejak Sibuti menjadi kawasan BN pada 2008,” katanya.