Perjuangan diperhebat

1

BERTEMU RAKYAT: Taib bersalaman dengan penduduk sejurus tiba pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Masyarakat Kampung Baru, Kota Samarahan semalam. Turut kelihatan Rubiah (dua kiri) dan Karim (kiri). — Gambar Jeffery Mostapha

Pemimpin bertukar, namun BN terus bela kehidupan rakyat: Taib

KOTA SAMARAHAN: Perjuangan Barisan Nasional (BN) untuk membangun dan memajukan rakyat tidak pernah berubah meskipun barisan pemimpinnya sentiasa bertukar.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, sejak menyertai Malaysia 50 tahun lalu, kerajaan BN memperjuangkan dan membela nasib rakyat dengan berusaha membebaskan rakyat daripada belenggu kemiskinan.

Menurutnya, pada awal beliau bergelar Ahli Parlimen Kota Samarahan (1970) di bawah Perikatan yang kini dikenali sebagai BN, cita-cita bersama dilahirkan untuk mengubah taraf hidup rakyat dari kehidupan miskin kepada lebih senang.

Perjuangan itu, katanya, sehingga kini diteruskan, malah diperhebatkan dengan tidak hanya memfokus kepada usaha membangunkan kemudahan prasarana di kampung-kampung tetapi diperluaskan kepada aspek pendidikan generasi muda.

“Saya bukan lagi wakil rakyat di kawasan Kota Samarahan, tetapi selagi saya bertanding menggunakan lambang BN, wakil-wakil saya bertanding dengan lambang BN, dan menang dengan lambang BN, kerana sokongan daripada rakyat, perjuangan kita (BN) tidak akan berhenti, dari satu perubahan kepada satu perubahan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Masyarakat Kampung Baru di sini, semalam.

Majlis yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya Abdul Karim Rahman Hamzah, ADUN Muara Tuang Dato Sri Mohammad Ali Mahmud dan calon BN Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang dimeriahkan oleh kirakira 1,000 penduduk Kampung Baru serta kampung-kampung berhampiran.

Taib berkata, 50 tahun dahulu ketika jentera BN berkempen untuk mendapat kemenangan seterusnya menjadi pemerintah, keadaan negeri Sarawak amat mundur dengan rakyatnya masih ramai yang miskin, kemudahan prasarana serba tidak lengkap, selain kekurangan sekolah.

Bagaimanapun, ujarnya, barisan pemimpin ketika itu tetap menggalas cita-cita tinggi kerajaan dan rakyat iaitu mahu kehidupan yang lebih selesa serta senang sesudah merdeka.

“Saya mahu bertanya kepada anda (di dalam dewan ini), adakah kita hari ini hampa kerana segala cita-cita dan apa yang dicakapkan 50 tahun lalu tidak tercapai?

“Kalau kita lihat hari ini, semua kampung sudah senang, sudah ada jalan yang baik, sekolah sudah dekat, anak-anak bersih juga sihat, ada bekalan air dan elektrik seterusnya pada suatu hari nanti boleh menyusun kemajuan baharu.

“Sebagai contoh, Kota Samarahan menunjukkan perubahan paling ketara daripada dikenali sebagai tempat jin bertendang 50 tahun lalu, kini terkenal sebagai kota ilmiah. Keadaan Samarahan berubah lebih daripada dicakapkan. Inilah perjuangan kita dalam BN,” ujarnya.

Taib yang juga Pengerusi BN negeri berkata, perjuangan BN tidak akan berhenti kerana Sarawak kini memasuki fasa kedua pembangunan iaitu melahirkan sumber tenaga berkualiti dalam kalangan rakyat khususnya generasi muda bagi membolehkan mereka merebut peluang pekerjaan serta ekonomi yang diwujudkan kerajaan.

“Misi BN tidak boleh berhenti, ia mesti disambung. Kalau kita orang lebih berusia seperti saya terpaksa bersara, maka orang muda yang berkelayakan, dedikasi dan mempunyai semangat tinggi mahu berjuang untuk rakyat perlu dilatih dari awal lagi supaya mereka dapat membawa perubahan dalam tempoh 20 tahun lagi,” tegasnya.

Sementara itu, Ketua Menteri berkata, pemilihan Rubiah Wang sebagai calon BN Parlimen Kota Samarahan dilakukan kerana percaya beliau boleh mewakili rakyat Samarahan khasnya di Dewan Rakyat untuk menyuarakan keperluan penting rakyat, selain mengenai hal ehwal wanita.

Taib yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, untuk memilih orang yang sesuai sebagai calon, parti mesti memikirkan segala kemajuan hari ini dan segala perubahan boleh diteruskan dengan kemajuan yang lebih baik lagi.

“Saya yakin dengan kebolehan Rubiah, cara beliau bekerja sebagai DO (pegawai daerah) dahulu, beliau cukup berpengalaman dan boleh menolong rakyat. Bukan hanya dilihat dari segi kepandaian tetapi kesanggupan berkhidmat untuk rakyat.

“Undilah saudari Rubiah wakil kita (BN) bagi membolehkan agenda pembangunan dapat diteruskan demi kepentingan generasi akan datang,” katanya.

Pada majlis sama, Taib mengumumkan peruntukan berjumlah RM50,000 untuk menaik taraf Dewan Masyarakat Kampung Baru dan Ia sebagai mengenang jasa penduduk kampung itu yang memberi sokongan kepada beliau dan BN sejak 40 tahun lalu.