Sarawak catat pelaburan tertinggi di Malaysia

0

UNTUKMU: Menteri Muda Pembangunan Perindustrian (Pelaburan dan Promosi) Julaihi Narawi (tiga kiri) menyampaikan cenderamata kepada Awang Tengah pada majlis tersebut.

MIRI: Lembaga Pelaburan Pembangunan Malaysia (MIDA) dalam laporan terkininya mengesahkan Sarawak telah berjaya mencatatkan nilai pelaburan tertinggi di Malaysia iaitu lebih RM3 bilion dari Januari hingga Februari 2013.

Menteri Pembangunan Perindustrian merangkap Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu, daripada jumlah tersebut, RM2.89 bilion ialah pelaburan asing manakala RM144.5 juta daripada pelaburan domestik.

“Dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini sahaja, Sarawak telah berjaya mendahului Perak (RM377 juta), Selangor (RM366 juta) dan Pulau Pinang (RM351 juta).

“Ini membuktikan bahawa usaha kerajaan negeri selama ini berada di landasan yang betul dan perlu diteruskan untuk membolehkan Sarawak mencapai taraf negeri maju dan seterusnya berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Meneroka Peluang Dalam Sektor Perdagangan dan Perindustrian bagi Bahagian Miri yang berlangsung di sebuah hotel di sini, semalam.

Awang Tengah berkata, di peringkat pusat, walaupun kerajaan tewas banyak kerusi kepada pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) tahun 2008, namun kerajaan masih mampu mencatatkan pertumbuhan ekonomi dan menjadi antara yang tertinggi di dunia.

Ini kerana, menurut beliau, kepimpinan negara yang diketuai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sejak empat tahun lalu mempunyai dasar dan perancangan untuk melaksanakan pelbagai transformasi termasuk Program Transformasi Ekonomi (ETP).

“Hasilnya, kita telah mendapatkan keyakinan daripada pelabur dan pada masa yang sama, meningkatkan keupayaan diri dan kapasiti kita.

“Disebabkan itu, negara dapat terus berkembang sehingga kita mendapat peluang-peluang yang ada melalui dasardasar kerajaan dan kerajaan pula mampu melakukannya kerana mempunyai kestabilan politik yang kukuh,” katanya.

Menurut beliau, jika tiada kestabilan dengan dasar yang sering berubah-ubah, maka sukar untuk menarik pelaburan asing mahupun tempatan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat negeri ini supaya sentiasa bersyukur dengan segala pembangunan, kemudahan serta bantuan yang diberikan oleh kerajaan hinggakan negeri ini menik­mati pelbagai perubahan pembangunan dan kemajuan walaupun baharu 50 tahun merdeka dalam Malaysia, berbanding sesetengah ne­gara yang lebih lama merdeka namun lebih ketinggalan ber­banding Sarawak.

Justeru, Awang Tengah melahirkan rasa kesal beliau dengan kekalahan Barisan Nasional (BN) di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Miri pada Pilihan Raya Negeri 2011 lalu, yang menyaksikan kerusi Pujut dan Piasau jatuh ke tangan pembangkang gara-gara isu sentimen yang ditimbulkan.

“Kita bersyukur kepada kerajaan dengan apa yang telah dibangun dan diberikan kepada kita.

“Tidak ada apa-apa yang dapat kita lakukan jika kita hanya berasaskan kepada sentimen sama ada peribadi, perkauman mahupun keaga­maan.

“Segala pembangunan yang ada di Miri pada hari ini adalah hasil titik peluh kerajaan BN, pembangkang hanya tahu mengkritik sahaja,” ujar beliau lagi.

Sehubungan itu, katanya, pada PRU13 ini, adalah amat penting untuk BN menang dan kembali memerintah den­gan Najib terus kekal menjadi Perdana Menteri bagi memas­tikan Miri dan Sarawak serta negara terus makmur, rakyat lebih senang dan ekonomi terus berkembang.