Snowdan diminta letak jawatan pengerusi PRS Balai Ringin

0

SRI AMAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin Snowdan Lawan diminta meletak jawatan sebagai pengerusi Parti Rakyat Sarawak (PRS) Balai Ringin secara terhormat.

Ini ekoran Pergerakan Pemuda dan Wanita PRS Balai Ringin bersama Persatuan Tuai Rumah Kawasan Balai Ringin, Simunjan dan Pantu yang mengemukakan tuntutan itu hilang kepercayaan kepada kepimpinannya.

“Beliau tidak pernah hadir dalam mana-mana majlis yang melibatkan Ahli Parlimen Sri Aman iaitu Masir Kujat sejak lapan bulan lalu.

“Lebih ketara lagi ialah beliau juga tidak hadir pada majlis yang melibatkan Presiden PRS Tan Sri James Masing di Simunjan dan Timbalan Presiden PRS Datuk Joseph Entulu Belaun di Pantu,” dakwa Ketua Pemuda PRS Balai Ringin Tuai Rumah Alex Libau pada sidang media di sini semalam.

Katanya lebih mengecewakan ialah Snowdan telah mengadakan program berasingan.

Tambahnya, Snowdan langsung tidak menyebut dasar dan rancangan pembangunan kerajaan kepada rakyat pada program anjurannya sendiri di kawasan Balai Ringin pada tempoh waktu itu.

“Selain itu, bapanya iaitu Donald Lawan akan bertanding sebagai calon Bebas bagi menentang calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Sri Aman pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini.

“Sehubungan itu, kami terus hilang kepercayaan dan meminta Snowdan meletak jawatan pengerusi itu mulai sekarang supaya mereka tidak dianggap sebagai pembangkang oleh sesetengah pihak,” ujarnya.