Tindakan pembangkang bangkit isu pemindahan penjaja untuk raih undi

0

KUCHING: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Petra Jaya Datuk Fadillah Yusof berkata tindakan pembangkang membangkitkan semula isu pemindahan penjaja dari Pasar Satok ke Medan Niaga Satok hanya bertujuan untuk meraih undi.

Beliau berkata pemindahan itu tidak seharusnya dijadikan isu kerana ia antara program transformasi kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk memastikan pendapatan para penjaja terlibat dapat dipertingkatkan.

Menurutnya Pasar Satok lama memang tempat perniagaan yang strategik tetapi pada masa yang sama peniaga menghadapi masalah terutama setiap kali hujan sehingga menjejaskan perniagaan mereka  kerana orang ramai tidak boleh datang untuk membeli-belah ekoran tiada prasarana yang lengkap di situ.

“Sebab itu akhirnya kami (kerajaan) membangunkan Medan Niaga Satok termasuk Benteng Satok dan sebagai penaung Persatuan Benteng Satok saya tahu berdasarkan keluhan peniaga setiap kali hujan di Pasar Satok.

“Apabila kita beralih tempat (berniaga) ia akan mengambil masa, saya sentiasa memantau aktiviti perniagaan mereka, ada yang berjaya menambah pendapatan, ada juga yang mungkin terjejas pendapatan,” ujarnya dalam satu sidang media di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai tindakan pembangkang menggunakan isu pemindahan penjaja dari Pasar Satok ke Medan Niaga Satok sebagai modal untuk meraih undi di kawasan Parlimen Petra Jaya.

“Bagi saya pembangkang semua perkara akan dijadikan isu, cuma satu isu mereka ialah mereka tidak akan berusaha (menyelesaikan masalah rakyat), yang berusaha ialah kami, kerajaan Barisan Nasional,” ujarnya.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu menambah, masalah kesesakan lalu lintas dan kekurangan tempat letak kereta di Medan Niaga Satok akan dapat diatasi dalam waktu terdekat ini dengan peruntukan tambahan berjumlah RM13.5 juta daripada kerajaan pusat bagi menambah baik prasarana di situ.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan peruntukan itu berkata ia termasuk membina penginapan sementara untuk para peniaga yang datang dari luar bandar dan menjalankan urus niaga di pasar tersebut setiap hujung minggu.

Selain itu, Fadillah berkata penganjuran aktiviti-aktiviti riadah dan promosi mesti lebih banyak dianjurkan khususnya oleh pihak berwajib dalam usaha mempopularkan lagi Medan Niaga Satok.