Ahli PKR ditumbuk penyokong APS di Tamparuli

0

KOTA KINABALU: Seorang ahli PKR membuat laporan polis setelah mendakwa ditumbuk oleh penyokong pakatan parti itu, Angkatan Perubahan Sabah (APS) dalam satu kejadian di pasar Pekan Tamparuli, Rabu lepas.

Difahamkan mangsa yang berusia 40an dikatakan telah terserempak dengan rombongan calon kerusi Parlimen P170 Tuaran, Datuk Wilfred Bumburing dan bertanyakan sesuatu dalam insiden berlaku sekitar jam 10 pagi itu.

Bagaimanapun sejurus kemudian, mangsa telah didatangi salah seorang pengikut rombongan terbabit sebelum ditumbuk di bahagian badan.

Jurucakap bagi PRU13 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Supt Mohd Azhar Hamin dalam satu sidang media mengesahkan kejadian itu dan polis masih melakukan siasatan terhadap kes berkenaan.

“Kita masih menyiasat kes terbabit mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan dan suspek masih dikenal pasti,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan kes berasingan, beliau berkata empat lelaki tempatan telah ditahan polis di atas pelbagai kesalahan bersempena kelangsungan kempen Pilihan Raya Umum ke – 13 (PRU13) ini.

“Polis telah menahan empat lelaki yang berusia 20 hingga 30an atas beberapa kesalahan sepanjang tempoh kempen PRU13 bermula.

“Antara kesalahan adalah membawa pisau ketika berkempen di Ranau dan kes sehingga mendatangkan kecederaan di Batu Tujuh, Sandakan baru-baru ini,” katanya.

Mohd Azhar turut berkata sebanyak lapan laporan polis di seluruh Sabah diterima sejak 24 April sehingga kelmarin dan tujuh daripadanya telah dibuka kertas siasatan yang membabitkan antara lain kesalahan iaitu ceramah tanpa permit dan kehilangan bendera.