Nansian pilih berkecuali

0

Pendirian elak perpecahan di Mas Gading menjelang hari mengundi

KUCHING: Menteri Muda Pembangunan Komuniti Datuk Peter Nansian Ngusie mengambil pendirian berkecuali dalam isu kempen pilihan raya di kawasan Parlimen Mas Gading.

NANSIAN

Menurutnya, pendirian sedemikian adalah untuk mengelak perpecahan di kalangan masyarakat di situ, terutama menjelang hari mengundi yang membabitkan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Bebas, Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Reformasi Negeri (STAR).

“Saya tidak boleh berkempen di Mas Gading, tetapi boleh menjalankan tugas rasmi sebagai Menteri Muda dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru.

“Saya risau akan wujud percanggahan kepentingan apabila saya berkempen untuk mana-mana pihak.

Lebih baik saya berdiam diri dan menjalankan tugas seperti biasa,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Sebelum ini, wujud gesaan daripada calon BN Parlimen Mas Gading Anthony Nogeh Gumbek dan pemimpin-pemimpin BN di kawasan berkenaan agar Nansian menyatakan pendirian, iaitu sama ada menyokong Nogeh atau calon Bebas, Datuk Dr Tiki Lafe.

Nansian merupakan rakan Dr Tiki dalam kumpulan yang digelar oleh mereka sebagai Kelab BN bersama tiga wakil rakyat lain terdiri daripada Menteri Muda Bekalan Air Datuk Sylvester Entri Muran, Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus dan ADUN Batu Danau Paulus Gumbang.

Mereka merupakan bekas pemimpin Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yang disingkir daripada parti pada tahun 2011 setelah tidak sehaluan dengan Presiden, Tan Sri William Mawan Ikom.

Nansian berkata lagi, beliau tidak ada masalah untuk membantu kempen BN di mana-mana kawasan di seluruh negeri melainkan di kawasan Parlimen Mas Gading.

Pada hari penamaan calon di Dewan Suarah Bau, Sabtu lepas, Nansian juga tidak kelihatan bersama Dr Tiki mahupun Nogeh.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa beliau menyokong keputusan Dr Tiki untuk bertanding sebagai calon Bebas.

Ditanya mengenai kesan sikap berkecualinya terhadap keputusan undi bakal diperolehi BN di Mas Gading, beliau memberitahu ia terserah dengan pengundi.

“Dr Tiki bertanding kerana rakyat yang mahukannya berbuat demikian, bukan saya yang buat keputusan,” katanya. #myvote13 #ge13