Misi kejuaraan ke-17

0

SELAMAT BERSAING: Abdillah (dua kiri) menyampaikan cenderamata kepada pasukan yang bertanding sambil disaksikan oleh Tan (kiri) di Bintulu semalam.

BINTULU: Sarawak sekali lagi berhasrat mengulangi kejayaannya untuk merangkul juara keseluruhan pada Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) Peringkat Kebangsaan Ke-55 di Kuantan, Pahang pada 18 hingga 30 Mei ini.

Hasrat itu diluahkan oleh Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak, Abdillah Adam pada majlis perasmian Kejohanan Balapan dan Padang MSS Sarawak Ke-41 di Stadium Mini Bintulu semalam.

Beliau melihat kejayaan atlet-atlet MSS Sarawak pada kejohanan yang sama di peringkat kebangsaan kali ke-54 di Perlis tahun lalu yang mana Majlis Sukan Sekolah-sekolah Sarawak (MSS) menjadi juara keseluruhan dengan memungut 15 pingat emas, 20 perak dan lapan gangsa perlu dicapai lagi tahun ini.

MSS Sarawak juga merupakan juara 16 kali kejohanan itu di peringkat kebangsaan sekali gus sebagai pasukan digeruni di negara ini.

“Kita berharap sekali lagi dapat memilih atlet-atlet berpotensi untuk mewakili Sarawak dan mengapai kejayaan dalam acara balapan di kejohanan itu kelak,” katanya.

Abdillah berkata, meskipun pungutan pingat emas menurun sedikit pada tahun 2012 berbanding lebih 20 pingat emas yang diperolehi pada tahun 2011, kita amat berharap atlet-atlet tahun ini mampu menunjukkan kesungguhan bersaing di peringkat negeri supaya dapat memilih atlet terbaik mewakili Sarawak di peringkat kebangsaan di Kuantan.

“Kita berharap atlet-atlet dapat berlatih dengan lebih giat kerana hanya melalui latihan kita mampu merealisasikan kejayaan.

“Dalam mana-mana bidang sukan sekali pun latihan itu amat penting misalnya latihan dan teknik dari segi lompatan, merejam lembing, berlari, acara larian secara berganti-ganti melepaskan baton semuanya mempunyai teknik tertentu,” jelasnya.

Justeru, beliau meminta atlet-atlet sukan agar menunjukkan kesungguhan dan komitmen sebagai wakil sekolah untuk mencapai kejayaan dan yang penting sekurang-kurangnya berusaha.

“Kita turut berharap guruguru dapat memberikan latihan sebaiknya kepada atlet-atlet supaya kita mampu menjadi juara keseluruhan sekali lagi di Kuantan nanti.

“Tahun ini, amat bermakna bagi kita sempena 50 tahun Sarawak merdeka dalam Malaysia kerana kita ingin menghadiahkan kejayaan menjuarai sekali lagi acara balapan dan padang di peringkat kebangsaan di Kuantan kepada kerajaan negeri,” katanya.

Seramai 870 atlet dan 11 kontinjen dari 11 Bahagian di Sarawak merangkumi 455 atlet lelaki dan 450 atlet wanita menyertai kejohanan yang membabitkan 120 acara berlangsung dari 24 hingga 27 April ini.

Turut hadir Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak, Ellen @ Manium Enggang dan Pegawai Pelajaran Daerah Bintulu, Tan Kiang Tuang.