Najib temui rakyat di beberapa lokasi S’wak esok

0

KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan lawatan kerja ke Sarawak hari ini untuk menghadiri majlis-majlis di Saratok, Lubok Antu, Kuching dan Sibu esok.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sekitar jam 9.15 malam ini menaiki pesawat khas.

Lawatan kerja Perdana Menteri akan dimulakan dengan menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dataran Krian, Saratok pada jam 9.10 pagi esok.

Dijangka hadir sama pada majlis itu nanti ialah calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Saratok Tan Sri William Mawan Ikom.

Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) itu berdepan tentangan daripada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ali Biju dan calon Bebas Datuk Abang Rosli Abang Paleng untuk mempertahankan kerusi Parlimen Saratok pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini.

Selepas itu, Najib dan isteri akan bertolak ke Rumah Awing, Merindun di Lubok Antu bagi menghadiri majlis sama dalam usaha mendapatkan sokongan untuk penyandang kerusi Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak.

Nyalau berdepan saingan sengit pada PRU13 ini daripada Presiden Parti Pekerja Sarawak (SWP) Larry Sng Wei Shien dan calon PKR Nicholas Bawin.

Lawatan Najib diteruskan dengan menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Haji Baki di sini, sebelum melawat Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua No.2 di Jalan Stutong.

Kedua-dua lokasi majlis terletak di kawasan Parlimen Stampin dengan penyandang-nya, Datuk Yong Khoon Seng diberi kepercayaan oleh BN untuk mempertahankan kerusi itu.

Yong berdepan pertandingan tiga penjuru menentang Julian Tan (Parti Tindakan Demokratik) dan Soo Lina (Parti Reformasi Negeri).

Perdana Menteri juga dijadual menyempurnakan majlis pecah tanah untuk projek pembinaan blok baharu sekolah berkenaan.

Beliau kemudian mengha-diri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di kawasan lapang di hadapan Hotel Paramount, Jalan Kampung Datu, Sibu.

Najib dan isteri dijadual berlepas pulang dari Sibu ke Kuala Lumpur menaiki pesawat khas sekitar jam 10.30 malam.