Pelatih PLKN layak mengundi diberi pelepasan pada 5 Mei

0

LANGKAWI: Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang layak mengundi diberi pelepasan pada 5 Mei ini untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, pelepasan itu bagi memudahkan pelatih mengundi pada pilihan raya umum kali ini.

Ini bermakna mereka ini akan mendapat cuti tambahan sehari kerana semua pelatih PLKN diberi cuti lima hari bermula 30 April hingga 4 Mei, katanya pada sidang media selepas melawat Kem Lagenda Seri Negeri, di sini semalam.

Menurut Abdul Hadi, terdapat tidak lebih 10 pelatih PLKN yang layak mengundi pada pilihan raya kali ini.

Beliau juga yakin pelatih PLKN tidak akan terlibat dengan gejala tidak sihat sepanjang tempoh bercuti kerana mereka telah diterapkan modul-modul dan disiplin yang tinggi sepanjang latihan itu.

Sementara itu, 3,500 warga kerja PLKN yang merupakan anggota tentera di 79 kem di seluruh negara tidak menghadapi masalah untuk mengundi kerana mereka mengundi awal.

Mengenai dua kem PLKN di Tawau dan Sandakan yang ditutup akibat kejadian pencerobohan pengganas Sulu baru-baru ini, Abdul Hadi berkata kedua-duanya akan dibuka semula tidak lama lagi setelah keadaan benar-benar pulih. — Bernama