Penyokong memihak pembangkang di Batang Sadong kembali sokong Barisan Nasional

0

SIMUNJAN: ‘Buaya’ yang berada di Batang Sadong diyakini dapat ditenangkan kata penyandang kerusi Parlimen berkenaan Nancy Shukri.

Beliau memberitahu, para penyokong yang memihak kepada pembangkang di kawasan itu secara perlahan-lahan kembali menyokong Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini.

“Melalui pendekatan yang lebih mesra dan mendekati rakyat dengan mengadakan lawatan kampung ke kampung, alhamdulillah sambutan penduduk amat memberangsangkan malah mereka menyambut baik kedatangan saya sehingga kita boleh menenangkan ‘buaya’ yang ada di sini untuk kembali menyokong kerajaan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ringkasnya di Bilik Gerakan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Kampung Ensengei Melayu, Sadong Jaya kelmarin.

Pada masa yang sama, Nancy memberitahu bahawa kerajaan BN tidak pernah meminggirkan mana-mana golongan masyarakat termasuk mereka yang menjadi penyokong pakatan pembangkang.

“Setiap bantuan yang kita salurkan tanpa memilih sama ada individu itu penyokong BN atau pembangkang, siapa yang layak pasti kita berikan.

“Inilah sikap adil yang diterap dalam kepimpinan dan ketelusan kerajaan tanpa timbul isu menganaktirikan mana-mana golongan”.

Selain itu, Nancy turut meluahkan rasa kecewa terhadap sikap pembangkang yang memperlekehkan pembinaan Jambatan Batang Sadong dengan menyifatkan projek itu satu pembaziran.

“Jambatan inilah menjadi satu keperluan yang utama kepada rakyat di kawasan ini, mereka ini sebenarnya tidak mengenali kawasan ini sebab itulah mereka memperlekehkan tanpa mengkaji dahulu,” tegasnya.

Justeru, beliau berharap rakyat di Parlimen Batang Sadong khasnya tidak termakan dengan hasutan yang boleh memecah belah perpaduan rakyat serta merosakkan perancangan pembangunan yang telah dan sedang kerajaan laksanakan.