Pertahan adat, tradisi Melayu

0

KEMUDAHAN TERBAIK: Taib tertarik melihat model Masjid Darul Hana yang dipamerkan selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Masjid Darul Hana di Kampung Seberang Hilir, Kuching semalam. Turut kelihatan (dari kanan) Dr Hazland, Dr Abdul Rahman, Wan Junaidi dan Abang Johari.

KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menyeru masyarakat Melayu agar mempertahankan adat resam, budaya dan tradisi biarpun corak kehidupan kini sudah berubah ke arah lebih moden.

Beliau berkata, masyarakat Melayu Sarawak terkenal dengan semangat perpaduan yang tinggi, mengutamakan sikap toleransi serta menjunjung kehidupan aman dan harmoni.

“Saya mahu masyarakat Melayu terus mempertahankan budaya dan adat resam sebagai ciri kehidupan walaupun sudah mengalami perubahan ke arah lebih moden.

“Kekalkan kehidupan masyarakat Melayu yang mempunyai semangat perpaduan, tolong-menolong, keamanan dan berupaya menjaga ketenteraman ini kerana ia merupakan tamadun paling tinggi yang patut dipelihara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Masjid Darul Hana di Kampung Seberang Hilir di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Perumahan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk majlis pecah tanah Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Santubong Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi dan ADUN Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni.

Mengambil contoh corak kehidupan di Darul Hana, Taib berkata meskipun masyarakat Melayu di kawasan itu semakin moden, adat resam, tradisi dan budaya perlu dipelihara untuk diwarisi generasi-generasi akan datang biarpun zaman sentiasa berubah.

Menurut beliau, kerajaan berusaha untuk mengubah dan membawa pembangunan kepada rakyat agar corak hidup- nya bersesuaian dengan peredaran zaman.

“Bagaimanapun, kita tidak dapat mengikut perubahan itu 100 peratus kerana kita tidak mahu budaya dan adat resam kita lapuk dan keharmonian kita bertambah lemah,” katanya.

Mengulas mengenai Darul Hana, Taib berkata fasa pertama projek tersebut yang merangkumi pembangunan semula 12 buah kampung di Seberang Hilir akan dimulakan dalam tempoh setahun.

Beliau menjelaskan, projek pembangunan dari Kampung Boyan hingga Kampung Bintawa itu akan mengambil kira pandangan masyarakat setempat menerusi perbincangan bersama.

Ini kerana, menurut beliau, projek berk­enaan tidak akan mencapai matlamatnya jika tidak mendapat sokongan dan pembabitan menyeluruh masyarakat kampung.

“Kita akan memulakan fasa pertama projek pembangunan Darul Hana ini dalam tempoh setahun dan kita akan mengadakan perbincangan bersama masyarakat.

“Tujuan kita bukan sahaja membina ke­mudahan kepada masyarakat, tetapi untuk memberi keselesaan kepada anak-anak kita dengan mengekalkan budaya serta adat resam masyarakat Melayu,” katanya.

Projek pembangunan semula itu meliputi kawasan seluas kira-kira 721.14 ekar (202.54 hektar) dan melibatkan 2,389 rumah, 3,647 keluarga dan 14,655 penduduk.

Pembinaan Masjid Darul Hana merupa­kan salah satu komponen pembangunan Darul Hana, selain kemudahan dan pras­arana seperti pusat komersial, terminal bas, rumah kediaman, pangsapuri, ma­drasah, surau, dewan masyarakat, pusat sukan dan riadah, tadika, taman rekreasi dan pusat pelancongan.

Pembinaan masjid bernilai RM22.84 juta itu turut merangkumi 38 lot letak kereta di tingkat bawah masjid dan 134 lot di ruang terbuka di sekeliling masjid.