Alexi juara kategori Fixie Kejohanan Basikal Bintulu

0

HADIAH: Dr Azlee (kanan) menyampaikan hadiah kedua kepada Astras dari pasukan Maswing bagi kategori Road bike (Master) sambil disaksikan oleh Latif (dua kanan) di Bintulu.

BINTULU: Alexi Disi yang mewakili Tanjung Batu Cy­cling Club (TBCC) muncul juara kategori Fixie (Warrior) pada saingan sejauh 20 kilom­eter Kejohanan Berbasikal Cabaran Kriterium Bintulu di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di sini.

Kedudukan kedua pula berpihak kepada Metaip Dron dari Meteid Jepak Cycling Club (MJCC) dan tempat ketiga Jimmy Grayson dari Masterpiece (Miri).

Sementara itu, juara kate­gori Mountain Bike (Monters) 15 kilometer pula disandang oleh Syamsul Ali Hamdan dan mengekori tempat kedua ialah Patrick Sequeen yang masing-masingnya dari Saxon Kuching, manakala tempat ketiga disandang Mohamad Musadali (TBCC).

Kategori Road Bike Junior bawah 21 tahun (Star) sejauh 25 kilometer pula didominasi Saxon (Kuching) juara, kedua dan ketiga masing-masingnya disandang Mohd Fitri Has­sim, Awang Adib dan Azril Aiman Aziz.

Manakala juara kategori Road bike veteran 40 tahun ke atas (Master) disandang Patrick Squen dari Saxon (Kuching), kedua Roger Astras (Maswing) dan ketiga Hilton Robert Freddy dari Masterpiece (Miri).

Diikuti kategori Road bike terbuka (Super) 32 kilom­eter turut didominasi oleh Saxon (Kuching) dengan juara, tempat kedua hingga ketiga disandang Zulkaisi Razali, Mohd Fitri Hassim dan Awang Adib.

Kejohanan julung kalinya dianjur oleh MJCC dengan kerjasama Pejabat Kemente­rian Belia dan Sukan Bahagian Bintulu dan ADTEC Bin­tulu itu menarik penyertaan beberapa pelumba handalan dari pasukan Saxon Kuching dan Masterpiece Miri selain pelumba-pelumba dari kelab berbasikal tempatan.

Presiden MJCC, Latif Upit berkata, penganjuran ke­johanan itu bertujuan un­tuk mendedahkan pelumba basikal tempatan dengan pertandingan yang mencabar dari segi fizikal dan mental sekali gus untuk menimba pengalaman dalam saingan dengan para pelumba ber­pengalaman dari Kuching dan Miri.

“Sebagai salah satu sukan yang mula mendapat per­hatian di Bahagian Bintulu, kejohanan ini telah berjaya menarik minat para belia un­tuk menyertainya,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata, kami juga ingin menggalakkan belia melibatkan diri dalam aktiviti yang lebih berfaedah sekali gus berharap kejohanan itu dapat diteruskan lagi di masa hadapan untuk mengenal pasti pelumba basikal berpotensi diketengahkan pada kejo­hanan besar.

Hadiah pemenang disam­paikan Pengarah ADTEC, Dr Ramli Rashidi dan Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu, Dr Azlee Ayub, pengerusi pertandingan, Awang Abdul Hakim Awang Mahmud dan pemilik kedai basikal Shin Hong Leong.