Isu Tabung Amanah Yayasan Kapit: Larry, Masing bertelagah

0

KUCHING: Presiden Parti Pekerja Sarawak (SWP) Larry Sng semalam meminta Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Dr James Masing menjelaskan status Tabung Pendidikan Amanah Kebajikan Yayasan Kapit yang tidak dibelanjakan, yang mana Masing berperanan sebagai Pengerusi.

Namun demikian, Masing ketika dihubungi semalam membidas semula Larry dengan mengatakan bahawa beliau (Larry) tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai Setiausaha.

“Kami mengambil tanggungjawab dan tindakan yang perlu sejak Larry tidak lagi menjadi Setiausaha dana,” kata Masing yang juga Menteri Kemajuan Tanah.

Menurut Larry, dana tersebut telah ditubuhkan oleh kerajaan negeri melalui kabinet pada tahun 2005 dengan tujuan untuk membantu pelajar luar bandar di Bahagian Kapit tetapi hingga kini dana tersebut tidak pernah dibelanjakan.

Beliau menambah pembiayaan untuk dana pendidikan itu sepatutnya melalui sumbangan tahunan dari setiap wakil rakyat di Kapit menerusi geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang berjumlah RM75,000.

“Dana ini adalah untuk membantu pelajar iaitu mereka yang telah menamatkan pengajian dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM.

“Jawatankuasa ini diketuai oleh Tan Sri James Masing dan saya selaku Setiausaha.

“Ahli-ahli lain adalah Datuk Ambrose Blikau sebagai Timbalan Pengerusi serta Alexander Nanta Linggi dan Datuk Billy Abit Joo.

“Belaga telah dikecualikan kerana ia mempunyai dana amanah sendiri,” jelas Larry pada sidang media di Ibu Pejabat SWP di sini, semalam.

Bagaimanapun, beliau berkata, sejak yayasan itu ditubuhkan sehingga hari ini, ia tidak pernah menghabiskan walau satu sen pun walaupun ia adalah bagi membantu pelajar luar bandar untuk melanjutkan pelajaran.

Sehubungan itu, Larry menuntut Masing untuk menjelaskan perkara itu.

Tambah Larry, masalah sekarang ialah wang yang berada dalam akaun tersebut sudah terlalu lama dan berisiko diambil balik oleh Bank Negara kerana di bawah Akta Wang Tak Dituntut 1965, apa-apa amaun yang tidak aktif selama tujuh tahun akan diambil oleh Bank Negara.

Dalam pada itu, Larry turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa parti itu sekarang adalah mesra Pakatan Rakyat.

“Saya mengatakan ini sampah… kenyataan saya sudah begitu jelas dari awal lagi bahawa kami (SWP) adalah mesra BN dan ia tidak akan berubah sehingga hari ini,” katanya.

PKR Negeri, dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan Vernon Kedit mendakwa SWP berkempen sebagai mesra Pakatan Rakyat di semua enam kerusi yang ditandinginya.

Vernon turut menggesa pemimpin SWP untuk mengisytiharkan pendirian mereka dengan segera secara umum.