Perubahan perlu perancangan

0

RASMI: Taib menekan butang sebagai simbolik perasmian Majlis Penetapan Tapak Jalan Baharu Empat Lorong Matang (EMART) ke Batu Kawa di Kuching semalam. Turut hadir isteri Ketua Menteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib dan (dari kiri) Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Menteri Pembangunan Infrastuktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Yong Khoon Seng, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof dan Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur Datuk Daud Abdul Rahman. — Gambar Muhd Rais Sanusi

KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mah­mud mengingatkan rakyat di negeri ini agar tidak mudah percaya dengan janji-janji kosong pembangkang yang bersifat propaganda.

Menyifatkan pembangkang sebagai lebih banyak bercakap daripada bertindak, Taib berkata Barisan Nasional (BN) telah bersedia sejak awal kemerdekaan hingga hari ini untuk mengubah nasib dan kehidupan rakyat.

“Kemajuan bukan sahaja berkehendakkan perubahan, tetapi memerlukan peran­cangan yang rapi kerana tanpa perancangan semua perubahan akan menjadi kucar-kacir.

“Kita mempunyai peran­cangan yang disusun 10 tahun lebih awal sebelum peruntu­kan boleh dikeluarkan untuk dilaksanakan. Inilah cara BN bekerja melalui tindakan dan bukan cakap-cakap kosong yang bersifat propaganda seperti yang dilakukan oleh pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penetapan Tapak Jalan Ba­haru Empat Lorong Matang (EMART) ke Batu Kawa di pekarangan parkir kenderaan Pusat Komersial Lee Ling di sini, semalam.

Taib berkata, pembang­kang memang pandai ber­cakap dan tidak ada orang dalam Malaysia ini dapat menandingi cara percakapan dari seorang pemimpin pem­bangkang.

“Tetapi, berapa banyak daripada percakapan itu yang boleh dipercayai dan boleh diambil sebagai perkara yang boleh menguntungkan rakyat pada masa akan datang?

“Daripada pengalaman saya, orang ini telah berkuasa sehingga hampir ke kemuncak kuasa dalam kerajaan pusat dan pada masa itulah saya tahu orang ini pandai bercakap tetapi kurang bertindak. Orang sedemikian tidak boleh kita percaya janji-janjinya 100 peratus,” ujar Taib.

Mengulas mengenai majlis itu, Taib berkata, kerajaan menyedari penduduk di kawas­an tersebut telah bertambah dan akan bertambah menjadi satu kawasan yang sesak terutama dari segi aliran trafik.

Atas kesedaran itu, katanya, kerajaan telah merancang jalan utama yang akan menjadi pan­duan dalam pembinaan jalan lingkaran Kuching yang boleh meringankan trafik.

“Kerajaan telah meran­cang untuk membina jalan dari Matang menyeberangi Sungai Sarawak dengan jam­batan atau tambakan yang lebih baik dan akan menjadi empangan untuk menyimpan air di Sungai Sarawak apabila kemarau.

“Inilah perubahan, pe­rubahan yang benar-benar memenuhi kehendak rakyat. Dengan cara demikian saya rasa apa yang kita buat hari ini bukan lagi seperti propaganda pembangkang,” katanya.

Dalam ucapannya, Taib turut menggesa rakyat khas­nya dari Parlimen Petra Jaya dan Stampin agar mengundi kedua-dua calon BN yang telah dipilih iaitu Datuk Fa­dillah Yusof dan Datuk Yong Khoon Seng.

Kedua-dua calon tersebut, menurut Taib, telah mem­buktikan diri mereka memiliki keinginan untuk berkhidmat kepada masyarakat tidak kira Melayu, Cina, Dayak dan sebagainya di bawah kerajaan BN.

“Siapa pemimpin kita, kita teropong benar-benar rekod­nya. Meskipun mereka ada kelemahan tetapi kita tahu tidak akan kehilangan apa-apa jika memilih mereka kerana kita tahu mereka akan bekerja untuk kita.

“Tetapi jika anda semua pemilih calon luar daripada BN yang tidak terbukti dapat bekerja anda akan berhadapan dengan risiko-risiko yang tidak diketahui.

“Saya berani menyatakan di sini bahawa tiada mana-mana pemimpin pembangkang yang dapat bekerja seperti Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak meskipun separuh daripada apa yang be­liau telah buat dalam tempoh empat tahun ini,” kata Taib.