PKR minta SWP perjelas sama ada mesra BN atau PR

0

KUCHING: Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Vernon Aji Kedit meminta Parti Pekerja Sarawak (SWP) agar menjelaskan kepada penduduk Sarawak mengenai hala tuju parti itu sama ada mahu menjadi rakan mesra Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR).

Perkara itu ditegaskan ekoran PKR mendapati SWP menggunakan pendekatan sedemikian pada masa berkempen di enam kerusi Parlimen yang ditandinginya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini.

“Semasa berkempen SWP mendakwa mereka rakan mesra PR di enam kerusi yang ditandingi SWP pada pilihan raya ini iaitu Parlimen Sri Aman, Lubok Antu, Julau, Kanowit, Hulu Rajang dan Selangau.

“Inilah modus operandi yang diguna pakai SWP kepada para pengundi khasnya di enam kawasan ini yang amat mengelirukan kerana sebelum ini SWP pernah mengatakan bahawa mereka adalah rakan mesra BN,” katanya.

Vernon berkata demikian menerusi siaran langsung laman sosial Skype yang disiarkan di Ibu Pejabat PKR Negeri di Batu 4 di sini, semalam.

“Oleh itu, saya meminta penjelasan daripada Penasihat SWP Datuk Sng Chee Hua dan Presidennya Larry Sng mengenai dakwaan ini supaya rakyat tahu mereka ini menyebelahi pihak BN atau PR,” tambahnya lagi.

Tegasnya, SWP perlu mempunyai pendirian yang tetap agar rakyat tidak terkeliru.

“Saya sarankan kepada SWP membina kain rentang yang mengatakan SWP rakan mesra BN atau PR supaya ia lebih jelas,” ujarnya.