Pusat Komersil bakal jana Tabung Amanah Bakun

0

Fasa pertama dijangka mula dibina tahun depan, akses pendidikan lebih baik untuk anak Sungai Asap

BINTULU: Pembinaan fasa pertama Pusat Komersil Tabung Amanah Bakun (TAB) di Daerah Kecil Sungai Asap Belaga dijangka dimulakan tahun depan, kata Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri James Jemut Masing.

Menurutnya, dengan siap pusat komersil itu yang dibina di atas tanah seluas 50 ekar di belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Keling secara tidak langsung membantu menjana pendapatan tabung berkenaan bagi membolehkannya membantu anak tempatan Sungai Asap Belaga mendapatkan akses pendidikan yang terbaik.

“Pulangan modal hasil daripada pusat komersil itu nanti akan mengukuhkan kewangan TAB dan membantu melahirkan lebih ramai cendekiawan muda dari kawasan Penempatan Semula Sungai Asap,” katanya ketika merasmikan program Hari Kerjaya Belia Dewan Undangan Negeri (DUN) Belaga dan Anugerah Pelajar Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakun di sini semalam.

Masing menjelaskan, pembinaan pusat itu diluluskan kerajaan negeri pada November tahun lalu dan menjadi satu lagi mercu tanda di daerah kecil Sungai Asap yang kian membangun hasil daripada projek Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Katanya, cadangan pembinaan pusat komersil sudah dihantar ke Unit Perancangan Negeri (SPA) bagi diteliti serta mendapatkan kelulusan pelaksanaannya.

“Saya lega berikutan pembinaan pusat komersil ini yang sememangnya dinanti-nantikan oleh penduduk di sini memandangkan bakal membantu penduduk di kawasan terbabit melanjutkan pelajaran mereka ke institusi pengajian tinggi,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Masing berkata bahawa setakat ini, TAB telah menaja sekitar 2,000 orang pelajar dari Belaga yang belajar di peringkat sekolah menengah, diploma dan ijazah sejak ditubuhkan pada 1997.

Katanya, selain memberikan tajaan biasiswa TAB turut mengadakan kursus motivasi percuma buat pelajar di kawasan berkenaan bagi membolehkan mereka memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam yang diduduki.

Lantaran itu, penduduk di Sungai Asap harus mengetepikan tanggapan yang dilontarkan kepada kerajaan oleh sesetengah pihak bahawa kerajaan tidak mengambil berat akan aspek pendidikan masyarakat di luar bandar.

“Sebaik-baiknya, penduduk harus bijak membuat penilaian bahawa kerajaan negeri melalui TAB sememangnya sentiasa memikirkan cara terbaik bagi membantu anak-anak muda di Belaga mendapatkan akses pendidikan terbaik bagi menjamin masa depan mereka,” katanya.

Pada program itu, Masing turut memberikan sumbangan berjumlah RM5,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Bakun untuk menjalankan pelbagai aktiviti mereka.