Biar PAS perjelas isu hudud kepada rakyat Miri: Anwar

0

SAMBUTAN: Lebih 8,000 orang awam dan penyokong PKR membanjiri kawasan letak kereta Miri Waterfront, di mana ceramah PKR telah diadakan di hadapan bangunan pejabat PKR Miri.

MIRI: Hanya PAS yang boleh menjelaskan mengenai isu berkaitan hudud kepada rakyat di negeri ini, khususnya di bahagian Miri kerana parti itu yang berkeras mahu melaksanakannya.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan demikian, berkata PAS mempunyai hak untuk menyatakan mengenai pendirian mereka terhadap pelaksanaan hudud dan hukum Islam.

Sebaliknya PKR, katanya tidak akan menghalang sesiapa pun sama ada PAS atau umat Islam untuk memperjelaskan mengenai pendirian mereka terhadap hudud atau hukum Islam yang lain, termasuk juga syariah dan al-Quran.

“Terserah kepada PAS untuk menjelaskannya kepada rakyat di sini kerana ia mengenai soal keyakinan atau akidah.

“Justeru PAS atau sesiapa pun boleh menjelaskan pendirian mereka. Banyak pihak menggunakan isu sama untuk kepentingan politik mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini semalam, selepas menghadiri ceramah dan menyampaikan amanat kepada penyokong Pakatan Rakyat (PR), sempena ceramah Dr Michael Teo di sini, malam kelmarin.

Anwar memberitahu bahawa umat Islam dibenarkan menjelaskan fahaman mereka mengenai hukum yang disebut dalam al-Quran termasuk dalam aspek hudud.

Ketika mesyuarat parti itu baru-baru ini, beliau berkata PKR menerima asas perlembagaan sedia ada termasuk memastikan Islam agama Persekutuan dengan hak agama lain turut dipelihara.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kempen PKR di negeri ini, Anwar berkata beliau amat yakin parti pembangkang mampu melakukan kejutan sekali lagi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini, sebagaimana pada PRU12 yang lalu dan juga pada Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 2011.

“Sehingga kini, saya menerima maklum balas bahawa PKR mendapat sambutan yang amat baik di beberapa kawasan yang ditandinginya terutama di kawasan Parlimen Saratok, Limbang, Baram dan Miri,” katanya.

Malah tambahnya, lawatan singkatnya untuk berkempen di Sarawak turut mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk negeri ini.

Selain Anwar, isteri beliau yang juga Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah turut mengadakan ceramah pada 27 April (malam kelmarin) dan akan terus berada di negeri ini bagi membantu kempen PKR hinggalah ke hari mengundi pada 5 Mei.

Dalam pada itu ceramah PKR yang diadakan di hadapan bangunan pejabat PKR Miri, malam kelmarin menarik lebih 8,000 orang, menyebabkan tempat letak kereta di Miri Waterfront penuh sesak, terutama ketika Anwar menyampaikan ucaptamanya pada jam 10 malam.

Selain Anwar, turut berucap ialah beberapa pemimpin PKR di peringkat pusat serta calon PKR di kerusi Parlimen Miri Dr Teo.

Dr Teo akan berhadapan dengan calon Barisan Nasional (BN) yang juga muka baharu Datuk Sebastian Ting di kerusi Parlimen Miri.

#myvote13 #ge13