BN dicabar naik taraf Jalan Pan Borneo dalam lima tahun

2

MIRI: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencabar Barisan Nasional (BN) untuk menyiapkan dan menaik taraf Jalan Pan Borneo dalam tempoh lima tahun selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini, jika mereka kembali berkuasa.

Ketua PKR Miri yang juga calon parti itu bagi Parlimen Miri Dr Michael Teo berkata sebaliknya Pakatan Rakyat (PR) amat yakin Jalan Pan Borneo dapat dinaik taraf sepenuhnya dalam tempoh lima tahun, jika diberi mandat dan akan mengambil cabaran itu (daripada BN).

Sebelum ini, kedua-dua parti (BN dan PR) masing-masing mengambil cabaran untuk menaik taraf Jalan Pan Borneo dalam manifesto mereka cuma berbeza pada tempoh masa untuk memperlihatkan keputusan.

“Pakatan yakin dapat mengambil cabaran tersebut iaitu Jalan Pan Borneo akan dapat dinaik taraf sepenuhnya dengan mandat oleh rakyat dalam tempoh lima tahun,” kata Dr Teo pada sidang akhbar bersama ADUN Pujut Fong Pau Teck di sini kelmarin.

Isu tersebut merupakan salah satu agenda yang dibangkit dan diberi keutamaan dalam kempen PKR termasuk oleh Dr Teo kerana ia dianggap sebagai satu keperluan yang amat dinanti-nantikan oleh rakyat negeri ini iaitu untuk melihat jalan raya itu dinaik taraf di seluruh Sarawak untuk kepentingan keselamatan rakyat.

Lebih-lebih lagi jalan tersebut kerap digunakan kerana ia adalah laluan utama menghubungkan bandar-bandar utama, destinasi, daerah dan bahagian negeri ini.

Dr Teo turut mencabar BN bagi menaik taraf lebuh raya itu kepada empat lorong dalam masa yang singkat, tanpa perlu membuat apa-apa alasan melambatkan atau memanjangkan projek berkenaan kepada tahun-tahun seterusnya (selepas tempoh lima tahun).

“Saya yakin dengan pemimpin-pemimpin Pakatan seperti Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang memiliki visi dan wibawa, di mana mereka sentiasa hendak melaksanakan projek-projek yang diperlukan oleh rakyat seperti Jalan Pan Borneo dan melaksanakannya dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Fong memberitahu bahawa sejak 2004 pemimpin BN Sarawak sentiasa menegaskan bahawa Jalan Pan Borneo tidak dapat dinaik taraf dalam beberapa tahun kerana kekurangan dana dan kekangan lain.

“Mereka telah bercakap mengenainya selama hampir 10 tahun dan jika mereka memulakannya (sejak 10 tahun lalu), maka lebuh raya yang kononnya akan dinaik taraf itu mungkin sudah siap sekarang,” katanya.

Fong berkata, beliau menyokong cabaran Dr Teo kepada BN, supaya menyiapkan lebuh raya tersebut dalam tempoh yang dijanjikan dan pada masa yang sama tidak perlu memberi pelbagai alasan bahawa ia tidak dapat dilakukan.