PAS komited teruskan hudud walaupun DAP tidak setuju

0

KUALA LUMPUR: PAS komited untuk meneruskan pelaksanaan hudud walaupun hasrat itu tidak dipersetujui sekutunya DAP, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.

Beliau berkata, hudud adalah agenda PAS dan parti itu mahu terus memperjuangkannya.

Pada September 2011, pakatan pembangkang telah membincangkan tentang hudud yang mahu dilaksanakan PAS tetapi DAP tidak bersetuju, katanya pada sidang berita di ibu pejabat PAS di sini, semalam.

Dalam pada itu, Mustafa berkata PAS akur untuk menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara untuk ditandingi PKR pada pilihan raya umum 5 Mei setelah berlaku pertindihan kerusi kedua-dua parti pembangkang itu pada penamaan calon 20 April lepas.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat kelmarin.

Ditanya mengenai saman fitnah UMNO terhadap dirinya, peguamnya dan lidah rasmi PAS, HarakahDaily kerana didakwa mengaitkan pertubuhan itu dengan penyebaran satu video lucah, Mustafa berkata beliau akan memberi penjelasan mengenai perkara itu pada ceramahnya di Rusila, Terengganu pada 3 Mei.

Minggu lepas, UMNO memfailkan saman fitnah terhadap Mustafa dan dua lagi berhubung penerbitan lima artikel yang mengaitkan pertubuhan itu dengan penyebaran video lucah itu di laman sesawang baru-baru ini. — Bernama

#myvote13 #ge13