Tiada tempat pamer aksi

0

SEPAK MULA: Vincent Lau melakukan sepak mula kejohanan futsal anjuran Kelab Rekreasi Bahagia Jaya di Sibu semalam.

SIBU: Penduduk Kampung Bahagia Jaya, di sini memohon sebuah gelanggang futsal berbumbung baharu dibina di kampung terbabit bagi kegunaan penduduk kampung, khususnya golongan belia.

Penasihat Kelab Rekreasi Bahagia Jaya (KRBJ), Zaidil Arip berkata ini kerana golongan belia di situ tidak mempunyai tempat untuk bermain futsal.

“Sebenarnya kita di sini ada sebuah gelanggang futsal yang dibina tiga tahun lalu.

Namun, kerana sebab tertentu gelanggang itu tidak dapat digunakan lagi.

“Sejak dibina tiga tahun lalu, gelanggang ini hanya pernah digunakan sebanyak tiga kali oleh penduduk kampung termasuk mengadakan pertandingan hari ini,” katanya di sini semalam.

Zaidil terdahulu ditemui selepas majlis sepak mula kejohanan futsal anjuran KRBJ yang disertai lapan pasukan.

Sepak mula disempurnakan oleh calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sibu, Vincent Lau Lee Ming.

Hadir sama Pengerusi JKKK Fasa II Ismail Amer, Pengerusi JKKK Kampung Bahagia Jaya Fasa III, Narok Injing serta yang lain.

Gelanggan futsal yang dibina berhampiran sebuah sekolah rendah di kampung terbabit dibina bagi kegunaan penduduk kampung.

“Namun, penduduk kampung khususnya golongan belia dinafikan menggunakan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan itu atas sebabsebab tertentu,” katanya.

Beliau merayu sebuah pintu masuk lain dibina di gelanggang yang sedia ada agar penduduk kampung dapat menggunakannya dengan lebih mudah.

Pintu masuk ke gelanggang itu dibina dari dalam kawasan sekolah, memaksa penduduk kampung masuk ke dalam kawasan sekolah untuk masuk ke gelanggang terbabit.

Zaidil memberitahu, KRBJ ditubuhkan bagi memperjuang agenda golongan belia di kampung tersebut, lebihlebih lagi bagi mendapatkan kemudahan sukan dan rekreasi.

Katanya, kelab itu juga memainkan peranan menguruskan kemudahan sukan yang dibina di kampung itu termasuk gelanggang futsal yang sedia ada atau gelanggang berbumbung yang baharu nanti.