Mustahil mengubah negara dalam sekelip mata

3

TUMPUAN: Najib disambut meriah sebaik tiba pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Pusat Komersil Kampung Datu Lama di Sibu, malam kelmarin.

SIBU: Slogan ‘Jom Ubah’ yang digunakan pembangkang seolah-olah mereka mahu mengubah negara ini dengan sekelip mata dan agak mustahil untuk mengubah negara yang telah diperintah kerajaan BN sejak sekian lama, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kerajaan BN tidak memerlukan perubahan yang dilakukan oleh pihak pembangkang kerana BN sendiri boleh melakukan perubahan.

“Lihatlah negara ini sejak sekian lama ditadbir oleh BN membolehkan rakyat hidup maju, negara aman dan makmur, rakyat berpendapatan tinggi, ekonomi meningkat, pendidikan cukup serta banyak lagi pembangunan dan kemajuan dilaksanakan oleh BN yang dapat kita lihat sekarang.

“Jadi apakah perubahan yang mahu dibuat oleh Pakatan Rakyat (PR) yang sering melaung-laungkan slogan mereka dan tidak cukupkah apa yang telah kerajaan BN buat selama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan hampir 10,000 hadirin pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Pusat Komersil Kampung Datu Lama di sini, malam kelmarin.

Hadir sama isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datu Len Talif Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapaee, calon BN Parlimen Sibu Vincent Lau dan calon BN Parlimen Lanang Datuk Tiong Thai King.

Najib yang juga pengerusi BN menegaskan bahawa perubahan boleh dilakukan sama ada secara radikal atau membenarkan kerajaan sedia ada melakukan perubahan.

“Jangan sesuka hati menyebut perubahan atau membawa rakyat melakukan perubahan pada pilihan raya ini, kerana perubahan membawa maksud yang luas dan banyak perkara yang perlu dikaji,” katanya.

Sementara itu, beliau menyifatkan pembangkang tidak berupaya membentuk kerajaan yang stabil dan berjaya kerana PR tidak dibentuk atas persefahaman sesama sendiri.

Jelasnya, banyak perbezaan ideologi antara PR yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan kini parti itu tidak sepakat dan boleh menyebabkan ketidakstabilan negara jika diberi mandat mentadbir.

“Dengan DAP dan PAS terus bertelagah dalam isu hudud serta pertembungan sesama sendiri calon PAS dan PKR pada pilihan raya ini, kita yakin Pakatan yang tidak sepakat akan terus berbalah jika diberi peluang membentuk kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan rakyat supaya tidak tertipu dengan manifesto pakatan pembangkang kerana sebagai Menteri Kewangan, beliau mempunyai cukup maklumat bahawa apa yang dijanjikan pembangkang hanyalah janji palsu yang tidak mampu ditunaikan semudah seperti yang dilaungkan.

“Bukan senang nak turunkan harga minyak, turunkan tol atau hapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), ia tidak semudah itu, banyak aspek yang perlu diambil kira.

“Anda tidak boleh menurunkan (harga) semua benda dalam satu masa dan yang penting rakyat kena tahu pakatan pembangkang hanya tahu berjanji, tetapi kerajaan BN sebenarnya sudah melaksanakan sebahagian daripada apa yang dijanjikan mereka,” jelasnya.

Sehubungan itu, Najib mahu rakyat Sibu dan Lanang serta seluruh Sarawak bangkit menunjukkan kepada pembangkang bahawa rakyat tidak mudah terpengaruh dan ikut sama bermimpi seperti yang mereka impikan.

“Dahulu kita tewas tipis di Sibu, tetapi kini perubahan telah berlaku di mana rakyat kini kembali untuk memberi sokongan kepada calon BN.

“Sebagai pengerusi BN, saya akan melakukan yang terbaik untuk masyarakat Sibu dan Lanang dan saya boleh bekerja rapat dengan dua calon saya ini (Vincent Lau dan Datuk Tiong Thai King) membangunkan kedua-dua kawasan serta Sarawak keseluruhannya.