13 murid di Kuala Kedah keracunan makanan

0

ALOR SETAR: Seramai 13 murid Sekolah Kebangsaan Seberang Perak di Kuala Kedah keracunan makanan pagi semalam setelah mengambilmakanan yang disediakan pihak kantin.

Mereka yang makan semasa waktu rehat pada jam 11 pagi mengadu sakit kepala, sakit perut dan muntah dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyahdi sini serta dimasukkan ke Unit Kecemasan dan Trauma.

“Semua pelajar berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan,” kata Pengarah hospital itu, Datuk Dr Juita Ghazalie.

Nur Faezah Ahmad Saad, 12, berkata dia dan rakan-rakannya makan laksa dan nasi lemak sebelum mereka berasa pening dan loya ketika masuk semula ke kelas.

“Waktu cikgu mengajar, tiba-tiba perut dan kepala saya rasa sakit. Saya bagitau cikgu dan lepas itu cikgu bawa saya ke dewan untuk disapu minyak angin,” katanya.

Cikgu Rosbariah Idrus berkata, pada mulanya seorang sahaja murid mengadu sakit perut dan kepala sebelum dia membantu murid itu dengan menyapu minyakangin.

“Lepas itu makin ramai yang mengadu sakit. Saya terus lapor ke pentadbiran sekolah sebelum mereka menghubungi ambulans untuk membawa murid-murid ke hospital,” katanya. — Bernama