Buat laporan polis terhadap Awang Tengah membuktikan DAP takut kepada kebenaran

0

KUCHING: Pendekatan Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang membuat laporan polis ke atas Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah menunjukkan parti pembangkang itu takut kepada kebenaran tentang perjuangan politik mereka yang sebenarnya.

Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Sarawak Abdullah Saidol yang menegaskan perkara itu berkata, DAP sering mengkotak-katik usaha kerajaan BN dan memberi gambaran hanya mereka yang bijak mentadbir negeri ini.

“Apabila DAP membangkitkan isu kebajikan Bumiputera Sarawak dan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), apakah mereka benar-benar ikhlas serta prihatin bahawa mereka mengambil berat tentang hak Bumiputera?

“Dengarlah ceramah mereka dan bacalah manifesto DAP, perkara yang kelihatan baik di bibir mereka hanyalah gimik politik DAP sahaja,” katanya melalui sistem pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Borneo di sini, kelmarin.

Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata demikian bagi mengulas mengenai laporan polis yang dibuat oleh DAP dan PKR terhadap Awang Tengah kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan berhubung isu NCR dalam manifesto Pakatan Rakyat.

Menurut Abdullah, secara ringkasnya DAP semakin gusar dan resah dengan kesungguhan BN untuk mempertahankan dan melindungi hak Bumiputera.

“Mereka semakin takut dengan konsep 1Malaysia yang mula difahami serta diterima oleh semua lapisan masyarakat negara ini,” katanya.

Sementara itu, kelmarin (Isnin), akhbar The Borneo Post, turut menyiarkan Awang Tengah menafikan bahawa beliau menyatakan PR akan menghapuskan NCR jika pakatan pembangkang membentuk kerajaan akan datang.

“Saya tidak pernah berkata bahawa PR akan memansuhkan NCR jika mereka membentuk kerajaan tetapi hanya mempersoalkan mengenai apa yang akan berlaku kepada NCR di Sarawak.

“Hak NCR adalah keistimewaan kepada Bumiputera, tetapi konsep Malaysia oleh DAP bertentangan dengan apa-apa keistimewaan khas dan itulah yang menjadi persoalan kepada semua rakyat Sarawak,” katanya kepada pemberita pada satu majlis di Lawas baru-baru ini.