Impian miliki rumah kini tercapai

0

TERIMA KASIH: (Dari lima kiri) Dr Jerip dan Abdul Karim bergambar bersama penerima-penerima surat Kelulusan Hak Milik Tanah dan Program RMR Skim Penempatan Semula di Kampung Mambong semalam.

KUCHING: Penantian selama 17 tahun bagi 18 keluarga di Kampung Mambong kira-kira 30 kilometer dari sini memiliki rumah sendiri berakhir semalam apabila Kementerian Perumahan bersetuju membina Rumah Mesra Rakyat (RMR) individu untuk mereka.

Menteri Muda Perumahan Abdul Karim Rahman Hamzah berkata di bawah skim itu kementeriannya akan mendirikan RMR dengan satu pertiga daripada kos pembinaan akan ditanggung oleh kerajaan manakala bakinya oleh pemilik.

“Walaupun lama, saya berharap apa yang dilakukan oleh kerajaan sekurang-kurangnya akan mengakhiri penantian anda semua…difahamkan kelewatan ini disebabkan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan, antaranya tapak penempatan semula.

“Semua ini adalah usaha keras wakil rakyat anda di sini iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengoh Dr Jerip Susil dan calon BN Parlimen Mambong Datuk Seri Dr James Dawos Mamit,” katanya pada Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Hak Milik Tanah dan Program RMR Skim Penempatan Semula Kampung Mambong, mewakili Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, semalam.

Abdul Karim berkata peserta penempatan semula hanya perlu membayar RM40,000 daripada  kos sebenar rumah berkenaan iaitu RM68,000 seunit.

Mengulas lanjut mengenai skim RMR individu Kampung Mambong sehingga semalam, 18  daripada yang memohon sembilan telah diluluskan manakala permohonan daripada sembilan lagi keluarga akan diluluskan dalam waktu terdekat ini.

Terdapat 19 keluarga di kampung itu yang terjejas ekoran pembinaan loji pemprosesan simen di kampung itu yang dulunya dikenali Sarawak Clinker Plant yang dibina pada 1996 dan dikendalikan oleh sebuah syarikat dari negara jiran sebelum ia diambil oleh syarikat tempatan.

Bagaimanapun proses penempatan semula keluarga yang terjejas itu tertangguh lebih 10 tahun kerana masalah pemilihan tapak penempatan semula sehingga satu tapak baharu diluluskan iaitu berhampiran kampung asal mereka.

Menurut Abdul Karim setakat ini terdapat 29 unit RMR telah dibina di kawasan Parlimen Mambong dan ia sememangnya hasrat kerajaan memberi keselesaan kepada rakyat yang mahu memiliki rumah sendiri.

Sementara itu, beliau berkata penduduk di konstituensi Mambong amat bertuah kerana memiliki wakil-wakil rakyat yang amat prihatin dan sentiasa bekerja keras memastikan keselesaan serta kemajuan dikecapi rakyat meskipun mengambil masa.

“Diharap pada hari mengundi nanti, penduduk kampung ini khasnya akan terus memberi sokongan kepada calon BN kita di Mambong, supaya pembangunan di sini akan terus dikecapi,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ADUN Bengoh merangkap Menteri Muda Kesihatan Awam Dr Jerip Susil dan Temenggung Bidayuh Bahagian Kuching Austin Dimin, Ketua Kaum Dolek Timas dan pegawai-pegawai kanan Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (PPPS).