Rakyat Sarawak harus menolak PAS

0

PAS tidak membawa sebarang kebaikan kepada rakyat seluruh negara

SAEH, NIAH: Rakyat Sarawak harus menolak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berikutan parti itu tidak membawa sebarang kebaikan bukan sahaja kepada rakyat Kelantan tetapi rakyat seluruh negara.

SHARIF

Penceramah bebas yang juga rakyat asal Kelantan, Sharif Mahmood, 55, berkata kehadiran PAS ke Sarawak hanya akan membawa keburukan dan membantutkan pembangunan yang sedang dibawa kerajaan.

“Saya tidak melihat PAS mampu membawa perubahan kepada Sarawak kerana rakyat di negeri Kelantan sendiri tidak mendapat apa-apa pembelaan daripada kerajaan negeri.

“Peruntukan hampir RM600 juta yang disalurkan kerajaan pusat untuk tujuan pembangunan lesap entah ke mana.

“Saya orang Kelantan dan saya tahu PAS tidak dapat membela nasib rakyat,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas mengulas keyakinan PAS bagi merampas Parlimen Sibuti dan menjadikan ia sebagai anak sulung PAS di Sarawak.

Beliau memberitahu, isu tanah dan isu air bersih yang sedang berlaku di Kelantan hampir 23 tahun berada di bawah pemerintahan kerajaan negeri tidak mampu diselesaikan.

“Isu tanah dan air bersih di Kelantan berada dalam keadaan kritikal dan ia tidak mampu diselesaikan oleh kerajaan negeri apatah lagi ingin menjaga kebajikan negeri lain.

“Atas alasan itu saya datang ke Sarawak khasnya di kawasan rumah panjang dan kampung untuk menjelaskan kepada rakyat tentang keadaan kelemahan pentadbiran PAS,” tegasnya.

Sharif menjelaskan, isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang sedang dibangkitkan oleh PAS dalam setiap ceramahnya hanya satu polimik dengan tujuan untuk menipu rakyat setempat.

“Apa yang berlaku di Kelantan kemungkinan mereka akan cerita lain di sini dan tujuan mereka hanya satu iaitu menginginkan kuasa tanpa memikirkan kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata tiada apa-apa yang boleh dibanggakan di Kelantan dan rakyat harus faham dan sedar bahawa mereka akan merana jika PAS berjaya meresap masuk ke Sarawak.

“Saya melihat rakyat Sarawak masih lagi memerlukan pembangunan daripada kerajaan Barisan Nasional (BN), jika dibandingkan dengan PAS Kelantan tidak mampu menyelesaikan masalah pembangunan seperti yang dimahukan rakyat,” jelasnya.

PAS katanya tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh dan atas alasan itu, kerajaan PAS tidak mampu menyelesaikan masalah pembangunan yang diingini rakyat.

PAS katanya jika menang di Sarawak pun hanya dianggap sebagai kacau daun sahaja dan tiada alasan untuk rakyat Sarawak yang masih memerlukan pembangunan kerajaan BN bertukar menyokong perjuangan PAS.

Mengulas mengenai peluang PAS untuk menang di Sibuti, beliau memberitahu bahawa hasrat PAS untuk mengembangkan sayap ke Parlimen Sibuti hanya satu angan-angan kosong.

“Saya tak nampak langsung PAS boleh menang di sini (Sibuti) kerana kehadiran mereka hanya ingin menimbulkan sentimen keagamaan sedangkan kita tahu rakyat Sarawak hidup dalam suasana majmuk dan aman,” katanya.

Tambahnya dalam tempoh berkempen di sini, beliau turut berkeyakinan Sarawak masih menjadi deposit tetap BN untuk membentuk kerajaan di Putrajaya kelak. #myvote #ge13