PR dakwa berada pada kedudukan kukuh untuk menangi PRU13

2

SIBU: Ketua Publisiti Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pusat Liew Chin Tong berkata Pakatan Rakyat (PR) berada pada kedudukan kukuh untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 5 Mei.

Beliau berkata, ramalan terbaharu politik di Semenanjung Malaysia adalah 53 peratus memihak kepada PR dan 47 peratus memihak kepada Barisan Nasional (BN).

“Pada Pilihan Raya Umum lalu, ramalan adalah 51 peratus memihak kepada PR dan 49 peratus memihak kepada BN. Sekiranya tiada apa-apa yang tidak diduga berlaku, PR akan dapat memenangi Pilihan Raya Umum 5 Mei ini,” katanya di sini semalam.

Hadir sama Pengerusi DAP Negeri Wong Ho Leng, calon DAP Parlimen Sibu Oscar Ling dan calon DAP Parlimen Lanang Alice Lau.

Liew turut meramalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memenangi 45 daripada 88 kerusi ditandinginya, DAP memenangi 40 daripada 50 kerusi dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memenangi 40 daripada 73 kerusi yang dipertandingkan.

“Berdasarkan angka itu, kita akan mendapat 125 kerusi dan mencukupi untuk membentuk majoriti daripada 222 kerusi Parlimen,” katanya.

Begitupun, Liew berkata beliau tidak mengambil keputusan pilihan raya di Sabah dan Sarawak sebagai kiraan kerusi yang diramalkan menang untuk membentuk majoriti itu.

“Bagaimanapun, kita berharap untuk memenangi sekurang-kurangnya tujuh kerusi di Sarawak, walaupun memenangi 12 kerusi bukan suatu mimpi,” jelasnya.

Katanya apa-apa kemungkinan akan berlaku menjelang pilihan raya dua hari terakhir ini.

“Kami hanya berharap agar kempen pilihan raya berjalan lancar dan aman serta tiada individu mahupun kumpulan yang datang dengan apa-apa helah kotor mengganggu Pilihan Raya Umum ini,” katanya.