100 pekerja syarikat di SIP adakan protes secara aman

1

BINTULU: Kira-kira 100 orang pekerja salah sebuah syarikat kontraktor di Taman Perindustrian Samalaju (SIP) mengadakan protes secara aman di simpang masuk ke kawasan perindustrian terbabit pagi semalam bagi menyatakan ketidakpuasan hati terhadap majikan yang didakwa mengutamakan pengambilan pekerja asing berbanding pekerja tempatan.

Menurut sumber, para pekerja terbabit rata-rata masyarakat Iban  berkumpul di hadapan simpang masuk ke SIP seawal jam 5.30 pagi sebagai tanda protes terhadap majikan yang kurang mementingkan nasib serta keperluan mereka, sebaliknya mengambil tenaga kerja asing secara berterusan bagi memenuhi jawatan tertentu di dalam syarikat terbabit.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Madang Usat ketika dihubungi berkata pihaknya dengan lebih 50 anggota bergegas ke lokasi kejadian dan sampai di sana sekitar jam 6 pagi bagi memantau serta mengawal keadaan bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

“Apa yang pasti, kita memastikan keadaan di SIP berada dalam keadaan terkawal dan mengerahkan lebih ramai anggota memantau keadaan di sini sekiranya perlu berbuat demikian,” katanya.

Apabila ditanya mengenai situasi di SIP, Madang berkata, segalanya berada dalam keadaan terkawal setakat ini yang mana para anggotanya meneruskan pemantauan keselamatan di kawasan terbabit dari semasa ke semasa dan berdasarkan keperluan bagi mengelak berulang kejadian itu.

“Saya berharap golongan terbabit (pemprotes) tidak mengadakan tindakan sedemikian, sebaliknya menyelesaikan masalah terbabit di meja rundingan demi kebaikan semua pihak,” ujarnya.

Timbalan Pengerusi DAP Bintulu, Dr John Brian Anthony bersama rombongan tiba di lokasi kejadian sekitar jam 10.30 pagi berjumpa dengan semua pekerja terlibat bagi membincangkan isu serta permasalahan mereka (pekerja tempatan) mengadakan ‘mogok’ di situ.

Brian telah mencapai kata persetujuan bahawa beliau akan membawa beberapa orang wakil pekerja mengadakan perbincangan dengan majikan terbabit mencari jalan penyelesaian.

“Apa yang saya dapat lakukan bagi membantu para pekerja ini ialah membawa mereka berjumpa dengan majikan seterusnya mengadakan rundingan bagi membolehkan masalah ini diselesaikan secara baik dan memuaskan hati semua pihak,” katanya.

Pada Januari tahun lalu (2012), para pekerja tempatan di SIP turut mengadakan protes berikutan tindakan majikan yang menamatkan perkhidmatan mereka tanpa alasan munasabah.