Lori tangki minyak nyaris sebabkan pemandu teksi maut

0

DIHERET: Keadaan teksi yang diheret oleh lori tangki minyak di jalan Kampung Nyabor, Sibu semalam.

SIBU: Sebuah lori tangki minyak nyaris menyebabkan seorang pemandu teksi menemui maut dalam kemalangan berhampiran dengan persimpangan lampu isyarat diheret lebih lima meter di Jalan Kampung Nyabor dekat sini pagi semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, teksi terbabit dikatakan keluar dari sebuah simpang manakala lori tangki minyak berkenaan sedang bergerak selepas persimpangan lampu isyarat.

Pemandu lori yang enggan dikenali mendakwa dia tiba-tiba terkejut apabila terdengar dentuman yang kuat dari arah sebelah kirinya.

Menurutnya, dia sedang memandu ke arah Jalan Lanang lampu isyarat bertukar hijau.

Tidak dapat dipastikan sama ada pemandu teksi terbabit keluar dari simpang tanpa menyedari lori sedang bergerak melalui jalan utama.

Akibat perlanggaran itu, teksi tersebut diheret oleh lori tangki minyak beberapa meter ke depan.

Pemandu teksi bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan namun bahagian sebelah kanan keretanya kemek sedikit.

Insiden tersebut menyebabkan lalu lintas di kawasan tersebut sesak seketika sehingga polis tiba untuk mengawal keadaan.