Parti dakwa mesra BN ibarat pasangan mengaku suami isteri tetapi tak kahwin

0

KUCHING: Parti yang mendakwa mereka mesra Barisan Nasional (BN) ibarat pasangan yang mengaku suami isteri tetapi tidak berkahwin secara sah, demikian ujar jurucakap Pejabat Perhubungan Media ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) semalam.

Justeru katanya adalah tidak rasional untuk pengundi memilih pihak mendakwa mesra BN tetapi jelas mereka bukan ahli sah BN sebaliknya pilih calon BN yang sebenar kerana mewakili perikatan BN yang selama ini memerintah negara.

“Kita mahu menggesa pengundi di Sarawak tidak terpengaruh dengan kata-kata manis parti yang mendakwa mesra BN tetapi hakikatnya mereka bukan sebahagian daripada komponen BN. Jadi jangan terpedaya dengan kata-kata manis mereka itu, kekal setia dengan (parti) BN yang sebenar.

“Calon BN sudah ditapis, dipilih dan mereka dianggap yang terbaik daripada pelbagai aspek.

“Pengundi yang selama ini memilih BN malah yang belum pernah memilih BN undilah untuk BN.

“Jangan pilih orang yang mendakwa ‘saya isteri kepada orang itu tetapi kami tidak berkahwin’,” katanya pada taklimat media di Ibu Pejabat PBB di sini kelmarin.

Beliau berkata seseorang itu tidak boleh mendakwa dirinya isteri kepada seseorang sedangkan mereka tiada ikatan sah begitu juga kesnya dengan pihak atau parti yang mendakwa diri mereka calon Bebas tetapi mesra BN.

Menurutnya lagi Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini bukan satu eksperimen untuk rakyat atau mana-mana pihak mencuba-cuba menukar kerajaan kerana ia akan menjejaskan masa depan mereka sendiri.

“Membentuk kerajaan adalah hak pengundi. Pengundi perlu membuat keputusan kerana ia akan memberi kesan kepada masa depan mereka.

“Jangan amalkan sindrom ‘mahu cuba-cuba’ kerana amalan itu sama seperti berjudi.

“Rakyat yang akan menderita jika eksperimen mereka gagal kerana semua program pembangunan ekonomi penting yang sudah dirancang akan terbantut sedangkan rekod Pakatan Rakyat jelas menunjukkan mereka gagal dalam menunaikan aspirasi rakyat malah mereka sendiri tidak sehaluan,” katanya.

Beliau turut mengajak rakyat negeri ini merenung apa yang berlaku di negeri-negeri diperintah pembangkang, kerajaannya gagal menunaikan janji-janji diberikan kepada rakyat.

“Adalah suatu yang amat mengecewakan apabila anda memberi kepercayaan kepada seseorang.

“Ini dipanggil pengkhianat dan ini amat jelas berlaku khususnya di Selangor. Walaupun anda cuba memekakkan telinga ia tetap menyakitkan hati.

“Mereka berkata manifesto bukan janji… apakah maksudnya itu, ia sama seperti berbohong tanpa berasa kesal.

“Saya berkata demikian bukan kerana saya berada dalam BN tetapi daripada fikiran minda saya sendiri selepas mendapat maklum balas daripada orang kampung, orang di jalanan dan pelajar yang masih di kolej atau universiti,” katanya.