Penduduk Sibuti dinasihati bersabar tunggu pembangunan

1

BEKENU: Penduduk di kawasan Sibuti dinasihati supaya bersabar menunggu pelaksanaan pembangunan yang sedang dijalankan oleh Barisan Nasional (BN) memandangkan pembangunan berkenaan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

Calon BN Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang memberitahu bahawa kerajaan tidak pernah mengabaikan keperluan rakyat khususnya dalam memberi pembangunan namun setiap projek terbabit adalah dalam perancangan dan dilakukan secara berperingkat.

“Kerajaan BN sentiasa mengutamakan rakyat dan menepati janji dengan memberi pembangunan berterusan namun perlu dilaksanakan secara berperingkat.

“Setiap projek yang dirancang akan dilakukan mengikut peringkat kerana perlu melalui pelbagai prosedur.

“Oleh itu, kita minta rakyat khususnya penduduk di Sibuti ini bersabar dengan pembangunan yang sedang kerajaan rancang,” katanya ketika melawat Rumah Entri Belawan di Kampung Tiris, Bekenu di sini petang kelmarin.

Sementara itu, Tuai Rumah Enteri Belawan dalam ucapan aluannya turut memohon menggantikan dua jambatan di kawasan berkenaan untuk kemudahan penduduk rumah panjang terbabit.

“Sekarang saya tidak boleh berjanji kerana masa ini saya adalah calon.

“Tetapi, sekiranya saya diberi mandat selepas 5 Mei nanti, saya berjanji akan berusaha melaksanakan rancangan pembangunan di sini,” kata Ahmad Lai.

Selain rumah panjang di Kampung Tiris, Ahmad Lai turut mengadakan lawatan ke beberapa kampung di sekitar Bekenu.