Pengundi berdaftar diminta buat semakan

0

MIRI: Semua pengundi berdaftar di dalam kawasan Parlimen Miri diminta membuat semakan semula mengenai pusat-pusat pembuangan undi mereka.

Ini kerana, beberapa pusat membuang undi telah bertukar dan tidak akan sama seperti pilihan raya sebelum ini (Pilihan Raya Negeri).

Jurucakap Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) memberitahu, jika sebelum ini ada pengundi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Bintang, ia mungkin bertukar ke SK South pada pilihan raya kali ini.

“Justeru, adalah lebih baik mereka membuat semakan awal bagi mengelakkan mereka tersilap tempat membuang undi kelak,” katanya.

Orang ramai boleh membuat semakan secara online di laman web rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di www.spr.gov.my ataupun boleh datang terus ke mana-mana pejabat SUPP berhampiran.

Selain itu, katanya SUPP turut membantu menyediakan kaunter-kaunter yang dibuka di setiap pasar raya, kawasan perumahan, kaki lima kedai serta bangunan pejabat untuk membolehkan orang ramai membuat semakan pusat pembuangan undi.

Parlimen Miri menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Sebastian Ting, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Michael Teo dan calon Parti Reformasi Sarawak (STAR) Chong Kon Fatt.

Konstituensi Parlimen Miri merangkumi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Piasau, Pujut dan Senadin mempunyai 71,170 orang pengundi berdaftar.

Pengundi kaum Cina merupakan pengundi teramai dengan jumlah 40,913 orang (57.4 peratus) diikuti kaum Melayu, 14,987 orang (21 peratus), kaum Dayak, 11,163 (15.7 peratus) dan kaum-kaum lain ialah 4,225 atau 5.9 peratus.