Gambar ratusan kad pengenalan di laman sosial ialah kes jenayah 2011

0

KUALA LUMPUR: Polis semalam meminta orang ramai agar tidak mempercayai satu lagi dakwaan wujudnya ‘pengundi hantu’ pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dengan tersebarnya gambar ratusan kad pengenalan dan kad bank di laman-laman media sosial semalam dan kelmarin.

“Kad-kad yang bertaburan seperti dipaparkan dalam gambar berkenaan sebenarnya mempunyai kaitan dengan satu kes jenayah di Kedah pada 2011,” kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada sidang media di sini semalam.

“Perkara ni berlaku pada 2011, bukan hari ini, semalam atau tempoh terdekat.

Tapi ada pula pihak yang sengaja mengeluarkan balik cerita itu, edarkan gambar itu, mungkin untuk mengelirukan masyarakat,” katanya.

Beliau meminta semua jangan terkeliru dan terpedaya dengan dakyah pihak yang sengaja timbulkan keraguan di pihak orang ramai di saat-saat akhir hari pengundian hari ini.

Mereka berniat biar orang yang tengok gambar ini akan menganggap “betul lah ni ada pengundi hantu”, katanya.

Khalid juga berkata, tiada kemasukan ‘pengundi hantu’ warga asing dari Bangladesh dan Filipina ke negara ini melalui beberapa penerbangan seperti yang didakwa ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati beberapa syarikat penerbangan seperti AirAsia menyediakan penerbangan tambahan atas permintaan orang ramai dan ia merupakan amalan yang biasa seperti pada musim-musim perayaan.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak yang mereka cerita tersebut agar menghentikan perbuatan demikian serta merta supaya tidak merunsingkan fikiran orang ramai.

“Rekaan cerita ini diharap tidak diambil serius oleh masyarakat kerana pihak polis setakat ini belum lagi menerima apa juga laporan polis berkenaan kemasukan orang asing untuk mengundi,” katanya.

Khalid berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memastikan hanya pengundi berdaftar sahaja layak mengundi.

“Ada cara untuk menyemak sama ada pengundi itu berdaftar atau tidak. Jadi di pusat-pusat mengundi esok (hari ini), mereka dan kad pengenalan mereka akan disemak,” katanya.

Sementara itu, Khalid berkata maklumat yang tersebar secara cepat, meluas dan mudah akibat kecanggihan teknologi menjadi cabaran utama pasukan keselamatan itu pada PRU13 kali ini. — Bernama