Pemilikan surat tanah bolehkan penduduk tingkatkan nilai tambah

0

DARO: Menteri Muda Perancangan Sumber Datuk Mohd Naroden Majais (gambar) berkata pemilikan surat tanah membolehkan penduduk kampung meningkatkan nilai tambah terhadap tanah mereka kerana tidak mempunyai tempoh luput.

Beliau berkata penduduk di sini sangat beruntung kerana mendapat surat tanah yang tiada tempoh luput dan paling penting ia adalah percuma.

“Perkara yang harus diketahui penduduk kampung ialah nilai tanah yang diterima akan bertambah dengan adanya kemudahan perhubungan jalan raya,” katanya pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Kampung Tradisi kepada lebih 100 penerima di Balai Raya Kampung Saai, di sini kelmarin.

Beliau berkata penduduk Saai tidak harus menyerahkan sembarangan geran tanah mereka kepada pihak yang tidak bertanggungjawab dan sebaiknya berjumpa dengan pemimpin sekiranya menghadapi sebarang masalah dan pertikaian.

“Saya berharap jangan ada yang berjumpa dengan pihak tidak bertanggungjawab dalam menyelesaikan isu tanah sekiranya terdapat pertikaian,” tegasnya.

Dalam pada itu, Mohd Naroden mengajak penduduk kampung agar bersatu hati bagi mengukuhkan perpaduan demi kemajuan negara.

“Perpaduan kaum di Sarawak sudah kuat dan saya mohon agar ia dapat dikukuhkan. Hubungan erat antara pemimpin Barisan Nasional (BN) Negeri dan Pusat sangat rapat serta mudah bagi kita mendapatkan peruntukan besar untuk menjalankan pembangunan di negeri ini,” tambahnya.

Sehubungan itu, Mohd Naroden turut menyempurnakan majlis yang sama kepada lebih 200 penduduk di Kampung Bruit pada sebelah paginya.

Hadir sama Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol, calon BN Parlimen Tanjong Manis Datuk Norah Tun Abdul Rahman, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Mukah Awang Zamhari Awang Mahmood, Penghulu Khatib Julaihi serta ketua-ketua masyarakat setempat.