Pengundi dinasihat terus balik selepas mengundi

0

MELAKA: Polis Melaka menasihatkan para pengundi di negeri itu agar segera pulang ke rumah masing-masing sebaik selesai mengundi, hari ini.

Ketua Polis Melaka Datuk Chua Ghee Lye berkata pengundi dilarang berkumpul di pusat pengundian kerana ia boleh mengganggu ketenteraman pengundi lain di pusat berkenaan.

“Saya berharap esok (hari ini), pengundi keluar mengundi awal dan selepas mengundi terus balik ke rumah, jangan berkumpul untuk meraikan atau mengganggu pengundi lain,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Dalam pada itu beliau berkata, polis menerima beberapa laporan berhubung cubaan menghalang bas yang masuk ke negeri itu dengan alasan membawa pengundi hantu.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan menjalankan pemantauan berterusan bagi mengelak pihak tidak bertanggungjawab mengganggu kelancaran pergerakan bas di Melaka.

Ditanya mengenai ‘Malaysia Spring’, gerakan mencetuskan situasi huru-hara ala ‘Arab Spring’ dengan memacakkan bendera kecil berwarna-warni, Chua berkata pihaknya menerima laporan berhubung kes berkenaan.

“Dengan bantuan Pihak Berkuasa Tempatan, kita telah mencabut bendera terbabit kerana ia tidak mempunyai kaitan dengan pilihan raya umum dan tidak sepatutnya dipamerkan,” katanya. — Bernama