Site Last Updated 2:50 pm, Saturday

Penurunan harga getah penyebab pekebun kecil berasa tertekan

Posted on May 5, 2013, Sunday

SARATOK: Pegawai Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Daerah Saratok Hardenan Golong berkata, penurunan harga getah secara mendadak sebanyak 41.3 peratus dalam tempoh dua tahun kebelakanan ini menyebabkan sebahagian pekebun kecil yang bergantung sumber pendapatan dengan komoditi tersebut berasa tertekan.

Katanya dalam usaha mengurangkan tekanan dan bebanan itu RISDA mengambil satu langkah proaktif dengan memberi bantuan khas kepada para peserta terbabit.

“Hasil Mesyuarat Ahli Pihak Berkuasa RISDA Kali Ke-226 (Khas) pada 19 April lalu, RISDA telah meluluskan pemberian bantuan khas secara ‘one-off’ berjumlah RM160 juta kepada pekebun kecil yang layak akibat kejatuhan harga getah.

“Pemberian bantuan khas itu merupakan langkah segera bagi meringankan beban kos sara hidup peserta yang terjejas akibat kejatuhan harga getah pada masa ini.

“Kemudahan bantuan khas sebanyak RM500 itu diberikan kepada setiap pekebun kecil yang layak dan memenuhi syarat yang ditetapkan,” katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Khas RISDA kepada 50 peserta terlibat dengan program Agropolitan Bukit Sadok (Hulu Awik), di sini semalam.

Majlis penyerahan bantuan khas ini diadakan di Pejabat RISDA Cawangan Saratok dan disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah RISDA Sarawak Kamarulazizi Mat Zain.

Menurut Hardenan, bukan semua peserta layak menerima bantuan khas itu kerana sebelum pemberian bantuan disalurkan pihak RISDA melakukan beberapa penilaian terlebih dahulu.

“Antara syarat-syarat utama yang diteliti ialah pekebun kecil tersebut mestilah warganegara Malaysia, berdaftar dengan RISDA, memiliki tanah berkeluasan 2.5 hektar dan ke bawah dan merupakan pemilik tanah yang sah pada masa permohonan.

“Hingga kini, dianggarkan seramai 320,000 opekebun kecil getah yang berdaftar dengan RISDA layak dipertimbangkan menerima bantuan khas ini manakala berdasarkan rekod RISDA pada waktu ini terdapat seramai 401,454 pekebun kecil yang berdaftar.

“Bagi Sarawak pula, seramai 3,225 orang pekebun kecil layak dipertimbangkan untuk menerima bantuan dengan peruntukan sebanyak RM1.6 juta,” jelasnya.

Tambahnya, pada masa kini RISDA telah menyalurkan bantuan tersebut di beberapa kawasan seperti di Sibu pada 28 April, Miri (30 April) dan di Betong baru-baru ini.

“Usaha penyerahan baki bantuan untuk para penerima yang seterusnya akan dilakukan secepat mungkin dan akan diagihkan melalui stesen RISDA dalam tempoh terdekat ini.

“Saya berharap bantuan yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban pekebun kecil dan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya.

Bagi pekebun kecil yang layak tetapi nama tercicir, mereka diminta menghubungi Pejabat RISDA berhampiran untuk mendapatkan borang permohonan bantuan.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.

90