Perundangan mengenai dana asing untuk PRU perlu

0

Elak pihak asing campuri urusan pemilihan kerajaan: SPR

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mencadangkan kepada pihak berkuasa mewujudkan satu perundangan mengenai dana asing yang diterima parti-parti politik di negara ini semasa pilihan raya umum.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, tindakan itu bertujuan mengelakkan pihak asing daripada mencampuri urusan pemilihan kerajaan negara ini.

“Kita harus mencontohi negara-negara lain contohnya Afrika. Setiap parti politik yang menerima dana asing harus diisytiharkan mengikut perundangan.

“Ini kerana semasa pilihan raya, sesiapa sahaja boleh menyalurkan dana termasuk pihak asing. Ia mungkin seorang individu yang terkaya dan juga badan-badan asing yang berpengaruh, tetapi kita hendak tahu apa niat mahu menyalurkan dana,” katanya kepada pemberita selepas taklimat Pilihan Raya Umum Ke-13 kepada pemerhati antarabangsa di sini semalam.

Katanya, tidak ada pihak memberikan wang (dana) secara percuma begitu sahaja jika tidak ada niat di sebaliknya.

Beliau berkata, pihaknya pasti bahawa kerajaan menyedari akan keperluan mewujudkan perundangan tersebut dan berharap ia dapat dilaksanakan pada pilihan raya umum di masa depan.

“Kadang-kadang kita hairan bagaimana sesebuah parti politik itu boleh mengadakan kempen secara ‘mewah’, guna helikopter ke sana sini.

“Tetapi kita tidak boleh mengatakan sembarangan, biar pihak tertentu ini melakukan tugas tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Ahmad sekali lagi mengingatkan para penyokong parti politik agar tidak menghalang pengundi daripada memasuki kawasan pengundian sehingga mereka gagal melaksanakan tanggungjawab tersebut.

“Terutama berdasarkan rupa paras mereka. Rakyat Malaysia ini berbilang kaum, ada bermacam warna kulit dan rupa.

“Jika mereka layak mengundi, maka jangan halang kerana ianya merupakan satu kesalahan serius,” katanya. — Bernama