Polis Kedah beri tumpuan di 11 kawasan panas

0

ALOR SETAR: Polis Kedah akan memberi tumpuan di 11 kawasan dikenal pasti ‘panas’ sepanjang proses pengundian hari ini bagi memastikan proses pilihan raya umum di kawasan itu berjalan lancar.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata, kawasan yang dikenal pasti “panas’ itu ialah empat kawasan Parlimen iaitu Pokok Sena, Pendang, Padang Serai dan Kulim/Bandar Baharu serta tujuh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN, Tanjung Dawai, Ayer Hitam, Bukit Lada, Derga, Jeneri, Kota Siputeh dan Belantek.

“Kita juga turut memberi tumpuan kepada Parlimen Sungai Petani bagi memastikan proses pengundian di Parlimen tersebut berjalan lancar. Jadi semua kawasan panas itu kita bagi fokus lebih supaya tidak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau berkata sehingga semalam, polis menerima sebanyak 292 laporan melibatkan pelbagai kes sepanjang tempoh berkempen dan daripada jumlah itu, empat kes telah dituduh di mahkamah.

Katanya, semua pengundi di Kedah tidak perlu risau dan bimbang dengan tahap keselamatan sepanjang tempoh mengundi esok kerana pihak polis telah bersedia 100 peratus untuk menghadapi segala kemungkinan.

“Walaupun di Kedah tidak berlaku kes letupan seperti seperti yang berlaku di Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur dan Selangor, tetapi kami telah menubuhkan pasukan khas untuk memantau keadaan siang dan malam.

“Saya harap letupan-letupan tidak berlaku dan tidak dijadikan isu kepada pengundi untuk tidak keluar mengundi. Semua masyarakat Kedah boleh keluar mengundi dengan selamat dan pihak kita akan menjaga ketenteraman ini,” katanya. — Bernama