Polis Limbang tingkatkan kawalan keselamatan

0

LIMBANG: Polis meningkatkan kawalan keselamatan di 62 pusat pengundian termasuk pusat pengiraan undi di Dewan Suarah Limbang di sini malam ini dengan menempatkan seramai 297 anggota keselamatan bagi mengelak berlakunya sebarang insiden kekacauan.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata jumlah itu melibatkan 209 pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), 18 pasukan pencegah rusuhan, 40 pasukan sukarelawan polis dan 30 anggota Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Katanya, kesemua anggota berkenaan turut dikerah lebih awal untuk menjaga setiap pusat mengundi mengikut kawasan masing-masing.

“Kami mahu beri jaminan kepada semua masyarakat di sini bahawa polis akan sentiasa berusaha memastikan keselamatan sepanjang proses pembuangan undi,” katanya di sini semalam.

Beliau menjelaskan, anggota keselamatan terbabit melakukan kawalan dan dalam keadaan siap siaga bukan sahaja dalam tempoh pembuangan undi tetapi bertugas sehingga seminggu selepas itu.

Mohd Bukhori turut memberi amaran kepada pihak-pihak berkaitan agar tidak menimbulkan kekacauan sepanjang tempoh pembuangan undi sehingga pengiraan undi selesai dilakukan.

“Saya hendak beri amaran agar jangan cuba menimbulkan kekacauan dengan membuat sesuatu yang boleh menggugat dan mengancam ketenteraman orang awam serta negara,” katanya.