Rumah kos rendah kurangkan setinggan di Miri

0

SUNGAI RAIT: Kerajaan semalam melancarkan Program Perumahan Rakyat (PPR) Lambir di Sungai Rait membabitkan sebanyak 500 unit Rumah Mampu Milik (RMM) teres, tambahan kepada 314 unit rumah dilancarkan di Permyjaya Curtin minggu lalu.

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, setakat ini Sarawak telah membina 2,800 unit RMM di seluruh negeri bernilai RM514 juta.

“Dengan adanya 500 unit RMM yang baharu ini, kita berharap dapat menampung keperluan Rumah Mampu Milik di sini yang kian meningkat,” katanya pada Majlis PPR Lambir di Sungai Rait semalam.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan menambah, projek berkenaan menzahirkan keprihatinan kerajaan untuk menyediakan rumah kos rendah seterusnya mengurangkan masalah setinggan di Miri.

“Kita berharap dapat membina lebih banyak RMM pada masa akan datang di Sarawak iaitu dengan menyasarkan 10,000 unit setiap tahun atau 50,000 unit dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Sementara itu, PPRT Lambir mempunyai keluasan rumah kira-kira 700 kaki persegi, lengkap dengan tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu, dapur dan ruang makan dan dijual dengan harga antara RM50,400 hingga RM59,220.

PPRT Lambir ini akan dilengkapi dengan sebuah surau, dewan serba guna, taska, tadika selain medan selera, kawasan hijau dan pasar tamu.

Program PPR ini merupakan projek bagi Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) iaitu peruntukan kerajaan persekutuan untuk pelaksanaan bermula dari tahun ini hingga 2015.

Abang Johari menambah, pelaksanaan projek-projek perumahan ini sudah tentu dapat membantu mengatasi masalah kesukaran rakyat memiliki rumah memandangkan harga rumah di bawah PPR adalah jauh lebih rendah daripada harga pasaran melalui subsidi yang diberikan oleh kerajaan.

“Sebagai contoh rumah PPR ini dibangunkan dengan kos RM140,000 seunit namun dijual dengan harga yang jauh lebih rendah iaitu RM50,400 (unit tengah) dan RM59,220 (unit tepi) setelah disubsidi oleh kerajaan sebanyak kira-kira RM89,000,” katanya.

Sementara itu, sebanyak 12 PPR telah diluluskan oleh kerajaan persekutuan dalam Belanjawan 2013, antaranya PPR Lambir (500 unit), Permyjaya Curtin (314), PPR Saratok (68 unit), PPR Sri Aman (123 unit), PPR Kidurong (215 unit) dan PPR Tabuan Melayu (432 unit).

Hadir sama Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin, Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Miri Datuk Sebastian Ting, calon BN Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Ripin Lamat, Residen Bahagian Miri Antonio Kahti Galis dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Lawrence Lai.