PKR hanya mampu menang satu kerusi di S’wak

0

KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya mampu memenangi kerusi Parlimen Miri daripada 15 kerusi yang ditandin­ginya di Sarawak pada PRU13.

Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian berkata pihaknya agak kecewa dengan keputusan kes­eluruhan dan menyalahkan keka­lahan mereka disebabkan politik wang.

“Saya sendiri terkejut apabila mengetahui saya telah kalah kira-kira 8,000 undi di Limbang,” ujar Baru pada sidang media di ibu pejabat PKR malam kelmarin.

Beliau tidak menolak kemung­kinan pembelian undi merupakan punca utama kekalahan PKR walaupun rakyat telah diberi­tahu supaya tidak menjual undi mereka.

Namun begitu beliau agak lega kerana sokongan di Betong dan Petra Jaya telah menunjukkan peningkatan terhadap Pakatan Rakyat (PR).

PKR telah bertanding di 15 kerusi Parlimen termasuk San­tubong, Petra Jaya, Mambong, Batang Lupar, Sri Aman, Lubok Antu, Betong, Saratok, Julau, Kanowit, Selangau, Hulu Rajang, Miri, Baram dan Limbang.

Dr Michael Teo merupakan calon tunggal PKR yang berjaya dengan mendapat undi majoriti 1,992 menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Sebastian Ting dan calon STAR Chong Kon Fatt untuk memenangi kerusi Parlimen Miri.

Teo telah berjaya memperolehi undi sebanyak 26,909 manakala Ting 24,917 undi yang men­yaksikan seramai 52,813 orang keluar mengundi di kawasan Miri.