Wan Junaidi tidak jangka majoriti besar

1

KUCHING: Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mengekalkan Parlimen San­tubong untuk Barisan Na­sional (BN) tidak menjangka meraih majoriti besar 20,936 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Walaupun menghadapi persaingan empat penjuru, Wan Junaidi memperoleh 24,665 undi mengalahkan Zulrusdi Hol daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) den­gan 3,719 undi, Mura Kadir (STAR) 206 undi dan Affendi Jeman (Bebas) 233 undi.

Menurutnya, kemenangan besar itu mungkin didorong personaliti calon, keadilan dan ketulusan kepada rakyat di kawasan.

Tambahnya, pendekatan yang digunakannya di kawas­an itu berdasarkan kemahiran dan pengalaman di DewanUndangan Negeri (DUN) Tanjung Datu, DUN Pantai Damai dan DUN Demak Laut turut menyumbang kepada kemenangan.

“Di Parlimen Santubong terdapat kawasan bandar, pinggir bandar dan luar bandar…ia memerlukan ban­yak formula untuk memenuhi permintaan rakyat,” katanya selepas penjumlahan undi di Institut Kemahiran MARA (IKM) semalam.

Selain itu, beliau men­jelaskan bahawa setiap komu­niti di kawasannya diberi layanan sama rata termasuk dari segi bantuan kewangan dan pembangunan fizikal.

“Saya tidak mengamalkan rasuah dan saya seorang wakil rakyat yang bersih dengan menggunakan pendekatan ketelusan dalam pemberian tender,” ujarnya.

Dalam pada itu, Wan Junaidi memberitahu ba­hawa komitmen yang di­tunjukkan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di bawah Parlimen San­tubong turut mengukuhkan jentera parti sepanjang berkempen.

Pada PRU12, Wan Jun­aidi memperoleh 15,800 undi dalam pertembungan satu lawan satu menentang calon PKR Rahamat Idil Latip (3,655 undi) dengan majoriti 11,945 undi.