Anwar seharusnya berhenti salahkan pihak lain berikutan kekalahan PR

0

MASING

KUCHING: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim seharusnya berhenti menuding jari kepada mana-mana pihak berikutan kekalahan mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) namun sebaliknya memfokuskan kepada agenda membangunkan negara.

Tindakan Anwar yang ingin mengadakan perhimpunan sebagai tanda bantahan ketidakktelusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diibaratkan oleh Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Masing sebagai tidak matang.

“Dengan cuba mengadakan demonstrasi hanya gara-gara Pakatan kalah, Anwar berkelakuan seperti kanak-kanak yang sering dimanja-manja.

“Melemparkan kemarahan apabila tidak mendapat apa yang dimahu,” katanya kepada Utusan Borneo menerusi sistem pesanan ringkas, semalam.

Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Negeri Datuk Fadillah Yusof berkata, tindakan itu hanya gerakan untuk mengalih perhatian awam akan kekalahan PR dan cara paling mudah adalah dengan menyelar dan menyalahkan SPR.

“Siapa yang cadangkan dakwat kekal digunakan dan siapa pula persoalkan? Siapa yang kata BN bawa pengundi di Selangor dan mengapa BN Selangor kalah? “Cukuplah begitu lama sudah kita berpolitik yang bukan bawa kebaikan dan marilah kita tumpukan kepada agenda membangunkan negara untuk kebaikan rakyat dan berjuang atas landasan tersebut,” katanya.

FADILLAH

Manakala Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Abdul Karim Rahman Hamzah yang juga Menteri Muda Perumahan berkata, sekiranya sesebuah parti itu berani bertanding, ia juga mesti bersedia menerima kekalahan dan Anwar mesti sanggup menerima hakikat bahawa PR boleh kalah kerana rakyat yang menentukan.

“Janganlah beranggapan hanya bila Pakatan menang saja pilihan raya itu baik dan telus dan sebaliknya sekiranya Pakatan kalah, mesti ada penipuan.

“Malah ramai juga calon Pakatan menang termasuk anak Anwar, Nurul Izzah dan tiga negeri jatuh ke tangan Pakatan dan semua ini menunjukkan ketelusan pilihan raya,” katanya.

PRU13 adalah pilihan raya paling teratur, telus dan kemas tetapi sekiranya benar Anwar hendak berdemonstrasi membantah keputusan PRU13 katanya, maka kerajaan mesti mengambil tindakan sekeraskerasnya.

“Sekarang adalah masa untuk kita membangun negara.

Tinggalkan politik seketika kerana semua sudah agak muak dengan cerita politik selama ini,” katanya.