DAP percaya BN ketepi pengundi luar bandar

0

KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak percaya kerajaan Barisan Nasional (BN) akan mengetepikan pengundi luar bandar dalam tempoh lima tahun ini kerana mahu memfokus kepada usaha memenuhi permintaan serta keperluan pengundi bandar.

Setiausahanya Chong Chieng Jen mendakwa peralihan polisi itu berlaku kerana BN mahu memenangi semula hati serta undi pengundi di bandar.

“Ekoran meningkatnya sokongan pengundi di bandar terhadap Pakatan Rakyat (PR), pasti BN akan lebih memfokus kepada permintaan dan keperluan penduduk bandar berbanding di luar bandar.

“Sebab utamanya ialah ini (Pilihan Raya Umum Ke-13) bukannya pilihan raya terakhir di Malaysia dan BN akan cuba memenangi semula sokongan pengundi bandar dan jika ini berlaku sudah tentu pengundi di luar bandar akan beralih kepada Pakatan Rakyat, akhirnya BN hilang kuasa,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Chong yang berjaya mempertahankan kerusi Bandar Kuching pada PRU13 lalu berkata kenyataan itu dibuat berdasarkan analisis peribadinya terhadap keputusan pilihan raya kali ini.

Beliau turut menafikan dakwaan Najib yang menyifatkan kekalahan BN di bandar sebagai tsunami (pengundi) Cina.

BN dakwanya, sekali lagi mengaitkan keputusan PRU13 dengan isu perkauman dan ia jelas menggambarkan sikap tradisi BN yang sering bermain dengan politik perkauman.

“Bukannya Cina menyokong pakatan (pembangkang) tetapi pengundi bandar manakala pengundi luar bandar lebih memilih BN, bukannya Cina menentang kaum lain.

Pada PRU13, DAP menang di lima kerusi Parlimen Sarawak d iaitu Bandar Kuching, Stampin, Sibu, Lanang dan Sarikei manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang satu kerusi, Parlimen Miri.