PBB seperti UMNO di S’wak: Affendi

0

KUCHING: Kemampuan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memenangi kesemua kerusi Parlimen yang ditandinginya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) menunjukkan parti tersebut mendapat sokongan padu daripada rakyat Sarawak.

Pengerusi Jawatankuasa Penaja UMNO Negeri Sarawak (JPUNS) Affendi Jeman berkata, ia merupakan gambaran jelas bahawa parti komponen BN lain yang berpangkalan di Semenanjung Malaysia termasuk UMNO sukar melebarkan sayap ke negeri ini.

“Masyarakat Bumiputera di Sarawak telah menyatakan pendirian secara jelas untuk menolak parti pembangkang dan menyokong penuh parti komponen BN tempatan.

“Kekalahan saya (sebagai calon Bebas) pada PRU13 mentafsirkan PBB adalah parti yang berperanan seperti UMNO di Sarawak.

“Belum tiba masanya untuk UMNO melebarkan sayap ke Sarawak seperti dilaungkan pemimpin negeri dan UMNO, saya menerimanya,” katanya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) semalam.

Beliau berkata, kejayaan BN membentuk kerajaan juga menunjukkan sokongan penuh rakyat khasnya Bumiputera terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terutama program transformasi yang diperkenalkan.

Malah katanya, kepimpinan negeri di bawah Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud diterima raky­at, justeru isu peletakan jawatan Taib sebagai pengerusi BN Negeri dan Ketua Menteri su­dah tidak relevan.

“Kekalahan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di kawasan ma­joriti Cina bukan ber­dasarkan kepimpinan Taib sebaliknya lebih kepada penolakan secara rasional,” ujarnya.

Pada PRU13 lepas, Affendi bertanding se­bagai calon Bebas di Parlimen Santubong menentang Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar (BN), Zulrusdi Hol (PKR) dan Mura Kadir (STAR).

Parlimen Santubong kekal menjadi milik BN dengan kejayaan Wan Junaidi menang dengan majoriti 20,936.