Pengundi Cina mungkin tidak puas hati: Ang

0

ANG

LIMBANG: Tindakan pengundi Cina khususnya golongan muda menolak Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu dianggap satu perbuatan yang tidak mahu mendengar kata dan nasihat.

Ketua Masyarakat Cina Bahagian Limbang Temenggung Ang Kheng Su berkata tindakan tersebut mungkin disebabkan rasa tidak puas hati mereka terhadap beberapa perkara kepada kerajaan sebelum ini.

Katanya ada permohonan yang dibuat kaum tersebut seperti bantuan baja, e-Kasih dan bantuan lain tidak diluluskan menyebabkan mereka enggan datang mengundi dan memangkah pembangkang.

“Kebanyakan pengundi muda kaum Cina masih menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di peringkat atasan, tetapi mungkin ada silap di peringkat bawahan.

“Ada aduan yang saya terima terdapat permohonan yang diminta kaum Cina melalui jabatan kerajaan yang tidak dapat, menyebabkan mereka tidak berpuas hati,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Ang menjelaskan, perasaan tidak puas hati itu diterjemahkan mereka melalui undi yang tidak memihak kepada kerajaan BN khususnya yang berlaku di kawasan Limbang.

“Saya ada menerangkan kepada mereka (pengundi Cina) tidak semua bersikap demikian.

“Namun ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’ sehingga mempengaruhi sokongan mereka terhadap kerajaan,” jelasnya.

Katanya, apa yang penting sekarang adalah untuk memberi kefahaman dan penerangan kepada pengundi Cina terutama golongan muda yang tidak faham dengan dasar pembangunan kerajaan.

Ang berkata, kerajaan Malaysia merupakan kerajaan yang adil kepada semua kaum sejak memerintah negara ini lebih 50 tahun.

“Inilah yang perlu diterangkan kepada golongan sasar.

Kesusahan hidup pada zaman penjajahan sejak 50 tahun lalu, perlu difahami golongan muda kaum Cina agar mereka tahu dan menghargai pengorbanan kerajaan sedia ada,” ujarnya.

Selain itu, katanya perubahan dan transformasi perlu dilakukan di peringkat bawahan bagi memastikan golongan yang benar-benar layak dapat menerima bantuan sepatutnya.

Pada PRU13 lalu, difahamkan hanya sekitar 50 peratus pengundi Cina tempatan dan pengundi luar keluar mengundi di Parlimen Limbang.

Menurut Ang, kebanyakan pengundi Cina lingkungan 40 tahun ke atas menyokong BN manakala kategori 40 tahun ke bawah dilihat kurang mengundi BN.

Dalam pada itu, beliau melahirkan perasaan gembira dengan kemenangan BN sekali gus memberi mandat kepada kerajaan BN untuk menerajui negara.

BN kekal berkuasa dengan memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan persekutuan yang baharu.

Beliau turut berharap agar keamanan dan kesejahteraan negara dapat dikekalkan dan rakyat terdiri daripada pelbagai kaum dapat hidup bersatu padu tidak seperti negara luar yang sedang bergolak.