Hasrat DAP tanding kerusi majoriti Bumiputera suntik semangat BN

0

DAUD

KUCHING: Hasrat Parti Tindakan Demokratik (DAP) bertanding di lima kerusi Barisan Nasional (BN) ma­joriti Bumiputera pada Pili­han Raya Negeri akan datang disifatkan sebagai penyuntik semangat BN terus bekerja keras untuk rakyat.

Setiausaha Agung BN Neg­eri, Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata, BN akan memastikan rakyat terus dibela dan pada masa sama, melakukan yang terbaik agar rakyat tidak mudah terpen­garuh dengan sentimen dijaja parti pembangkang itu.

“Daripada pemerhatian kita, DAP cuba menawan kawasan-kawasan pinggir bandar seterusnya kawasan luar bandar untuk memas­tikan impian mereka (mem­bentuk kerajaan) menjadi kenyataan.

“Oleh itu, ia bukan satu kejutan kepada BN jika itu per­ancangan atau strategi mereka (DAP),” katanya apabila di­minta mengulas mengenai kenyataan Setiausaha DAP Sarawak Chong Chieng Jen kelmarin bahawa parti itu akan bertanding di lima kerusi De­wan Undangan Negeri (DUN) majoriti Bumiputera iaitu Tu­pong, Satok, Tarat, Kedup dan Tasik Biru pada Pilihan Raya Negeri akan datang.

Daripada lima kerusi yang diintai DAP itu, empat adalah milik Parti Pesaka Bumiputera Bersatu-PBB (Tupong, Satok, Tarat dan Kedup), manakala Tasik Biru milik Parti Demokratik Pro­gresif Sarawak (SPDP).

DR RUNDI

Sementara itu, Naib Presi­den PBB yang juga ADUN Tupong, Datuk Daud Abdul Rahman percaya sokongan rakyat di lima kawasan terse­but terhadap PBB khasnya dan BN amnya tidak akan berubah, malah lebih kukuh berdasarkan keputusan Pi­lihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) baru-baru ini.

Menurutnya, keputusan PRU13 yang menyaksikan peningkatan undi majoriti di kawasan-kawasan berk­enaan membuktikan rakyat memberi kepercayaan kepada BN.

“Itu adalah hak DAP untuk bertanding di mana mereka mahu, tetapi kita percaya rakyat akan terus memberi sokongan kepada PBB. Kita sentiasa bekerja keras sepan­jang lima tahun, bukan hanya semasa pilihan raya. Ini bukan isu buat BN.

“Tidak seperti pembang­kang yang hanya menampa­kkan diri ketika tempoh pili­han raya dan bermain dengan sentimen untuk mendapatkan sokongan rakyat,” katanya.

Katanya lagi, tindakan menunjukkan diri hanya se­masa tempoh pilihan raya jelas menunjukkan pembangkang tidak jujur berkhidmat untuk rakyat.

Daud menambah, keputu­san DAP untuk bertanding di kerusi-kerusi DUN tersebut menunjukkan pembangkang tidak sehaluan kerana Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga berminat bertanding di situ.

Chong pada sidang me­dianya kelmarin berkata keputusan bertanding di kerusi-kerusi Bumiputera diambil ekoran meningkatnya sokongan rakyat kepada parti itu pada PRU13 lepas.

“Ini adalah strategi masa depan DAP Sarawak khas­nya untuk menguasai lebih banyak kerusi DUN.

“Jadi, kerusi yang akan kita berusaha tawan pada Pilihan Raya Negeri nanti ialah Tarat, Tupong, Satok, Tasik Biru dan Kedup. Ini adalah usaha untuk kita memperluaskan pengaruh parti di Sarawak khasnya,” katanya.