Liga Betong-Naim 2013 singkap tirai mulai 13 Mei

0

BETONG: Kejohanan bola sepak bagi merebut Piala Liga Betong-Naim 2013 akan menyingkap tirainya mulai 13 Mei ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong(BDFA), Majid Amit berkata, peminat bola sepak tempatan yang menanti permulaan aksi setelah penundaan tarikh kejohanan akan menyaksikan pertembungan lapan pasukan.

“Akibat penundaan tarikh melibatkan kesemua perlawanan yang dijadualkan bermula 28 April lalu, jawatankuasa BDFA telah merombak beberapa siri perlawanan awal dalam jadual yang telah ditetapkan.

“Namun perlawanan Piala Sumbangsih terpaksa dilewatkan disebabkan beberapa perkara yang melibatkan perasmian oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Seterusnya perlawanan pada minggu pertama juga ditunda sehingga perebutan Piala Sumbangsih melibatkan pasukan MPOB Elite dan 30 Junction.

“Apapun perlawanan pada 13 Mei akan mempertemukan 30 Junction dan PMSB FC.

Seterusnya pada 14 Mei, pasukan EG Galaxy akan menentang AAZ FC.

“Manakala pada 15 Mei pasukan PDRM Betong akan bertemu dengan Pelados E-Putra dan pada 16 Mei pertemuan pasukan MPOB Elite menentang Luban FC.

Dalam pada itu, katanya, semua pasukan yang bertanding diminta mengambil perhatian berhubung perkara ini kerana semua perlawanan tidak akan ditangguhkan lagi melainkan terdapat sebarang pertembungan tarikh yang memaksa setiap perlawanan dihentikan atau ditunda.

“Jika berlaku sebarang perubahan, pihak BDFA akan memaklumkan kepada semua pengurus pasukan yang terlibat,” tambahnya.

Majid menambah, Piala Sumbangsih belum diadakan bagi memberi penghormatan kepada Jabu untuk merasmikan perlawanan tersebut yang akan dilangsungkan mengikut kesediaan dan kelapangan masa beliau.

“Walaupun begitu, BDFA terpaksa meneruskan perlawanan yang lain kerana tidak mahu perlawanan seterusnya berlanjutan hingga ke bulan Ramadan atau selepas Hari Raya Aidilfitri.

“Ini juga kerana selepas Hari Raya nanti kita akan meneruskan Kejohanan Piala Datuk Patinggi Jabu Edisi Ke-15 yang bakal disertai oleh semua pasukan yang menyertai Kejohanan Piala Liga Betong-Naim kali ini,” jelasnya.