PTBS anjur Kejohanan YB Hajah Sharifah Hasidah pada Jumaat ini

0

PEMINAT NO.1: Gambar fail menunjukkan Sharifah Hasidah (kanan) hadir pada kejohanan anjuran PTBS pada tahun lepas. Turut kelihatan Presiden PTBS Tan Sri Datuk Amar Bujang Mohd Nor (kiri) dan pemain PTBS Alia Azman.

KUCHING: Persatuan Tenis Bumiputera Sarawak (PTBS) akan menganjurkan Kejohanan Tenis Terbuka Wanita YB Hajah Sharifah Hasidah pada Jumaat ini di Gelanggang Tenis PTBS.

Pegawai Pembangunan PTBS merangkap penganjur Ismail Abdullah berkata, objektif utama kejohanan tersebut adalah bagi menggalakkan lebih ramai wanita terlibat dalam sukan tersebut.

“Kita mengajak manamana wanita yang berminat untuk menyertai kejohanan ini tanpa mengira perbezaan umur, bangsa dan agama,” katanya semalam.

Menurut Ismail, kejohanan itu dinamakan Kejohanan YB Hajah Sharifah Hasidah sempena nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semariang, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

“Beliau adalah peminat nombor satu tenis dan telah banyak memberi sokongan terhadap PTBS sejak menjadi ADUN.

Justeru, kita mahu merakamkan terima kasih terhadap sumbangan beliau melalui pertandingan ini,” katanya lagi.

Dua kategori bakal dipertandingkan iaitu perseorangan dan beregu.

Manakala formatnya adalah kalah mati dengan peraturan pertandingan berdasarkan Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) dan Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM).

Pemenang bakal menerima hadiah wang tunai, trofi dan pingat.

Pada masa yang sama, Ismail mengingatkan mana-mana peserta yang berminat agar membayar yuran keahlian untuk layak menyertai pertandingan tersebut.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Zain Wasli menerusi talian 082-311176.